Hanya empat stadium telah mendapat kelulusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menganjurkan permainan pada waktu malam.

Perkara tersebut diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Empat stadium berkenaan adalah Stadium Shah Alam di Selangor, Stadium Darul Makmur di Kuantan, Stadium Jalan Besar Singapura dan Stadium Negeri Sarawak.

Hamidin yang juga Naib Presiden FAM berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama anggota Majlis JKPT bagi membincangkan perkara tersebut hujung minggu ini.

Setakat ini dua stadium sedang menjalankan kerja penambahbaikan fasiliti dan berkemungkinan beraksi pada sebelah petang.

Dua stadium itu adalah Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan Stadium Perak di Ipoh.

Bagaimanapun pihak JKPT akan menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa di semua stadium yang terlibat dengan saingan Liga Malaysia 2013.

Ia bagi memastikan pasukan yang berhasrat untuk beraksi pada waktu malam mematuhi peraturan yang ditetapkan.