DAVID Moyes meletakkan tanda harga lebih £150 juta (RM828.2 juta) bagi mematahkan usaha memancing Declan Rice daripada West Ham, tetapi menegaskan pemain tengah England itu tetap tidak akan dilepaskan.

Kontrak ketua pasukan kelab London itu berbaki dua tahun lagi dengan pilihan melanjutkannya selama 12 bulan lagi.

Pemain berusia 23 tahun itu terus tekal mempamerkan aksi cemerlang bersama kelab dan negara, secara tidak langsung menarik minat Manchester United dan bekas kelabnya, Chelsea.

Ditanya adakah yuran perpindahan Rice perlu memecah rekod Britain, pengurus The Hammers tersebut berkata, jika pemain itu berminat, ia akan menjadi lebih tinggi daripada itu.

"Pada musim panas lalu lebih murah, £100 juta (RM552.1 juta). £150 juta tadi adalah nilai minimum tetapi dia tidak dijual. Apa yang saya tahu hanya kelab tertentu sahaja yang mampu mempertimbangkan harganya," katanya.

Moyes mahu The Hammers mengambil pendekatan serupa dengan musuh setempat, Tottenham, ketika mengendalikan minat Manchester City terhadap ketua pasukan England, Harry Kane, tahun lalu.

"Saya telah melihat apa yang dilakukan Tottenham dengan Harry Kane walaupun ia menerusi pendekatan yang berbeza," kata pengurus berbangsa Scotland itu.

"Mereka berkata, 'Tidak, ada harganya tetapi andai ada yang sanggup menebus harga itu, maka kami mungkin akan melakukannya. Jika tidak, maka pemain tidak akan pergi ke mana-mana' dan mereka berjaya menyekat perpindahan Kane.

“Akan ada masanya pemain lebih berkuasa tetapi kami telah mengikat Declan dengan kontrak selama tiga setengah tahun.

"Sama seperti Tottenham, mereka mengekalkan Kane dengan kontrak baru dan mereka mengawal apa yang berlaku," katanya lagi.