Hari Sukan Negara disambut penuh semangat di seluruh negara

Para peserta memulakan acara larian sempena penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Hari Sukan Negara (HSN 2025) disambut dengan penuh bersemangat di seluruh negara hari ini dengan pelbagai aktiviti diadakan bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat serta mencintai sukan dan aktiviti riadah.
Ringkasan AI
- Hari Sukan Negara (HSN 2025) disambut meriah di seluruh negara, dengan pelbagai aktiviti kecergasan dan sukan dianjurkan bagi memupuk gaya hidup sihat dan semangat perpaduan.
- Sambutan peringkat kebangsaan diadakan di Ipoh, Perak, dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, melibatkan lebih 10,000 peserta dan pelbagai acara seperti Larian Ria MADANI dan kayuhan basikal.
- Setiap negeri turut menganjurkan program HSN tersendiri, dengan penyertaan ribuan rakyat dan pelbagai aktiviti menarik termasuk sukan tradisional, e-sukan, cabaran memanah, serta program khas untuk OKU dan belia.
Buat pertama kalinya, acara peringkat kebangsaan yang memasuki tahun ke-10 itu diadakan di luar Lembah Klang, melibatkan pelbagai aktiviti kecergasan termasuk Larian Ria MADANI dan kayuhan basikal dan Anugerah Sukan Untuk Semua.
Di PERLIS, HSN 2025 peringkat negeri yang berlangsung di Dataran Dato' Sheikh Ahmad, Kangar dirasmikan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Dalam ucapan perasmiannya, Sim menyeru semua pekerja di negara ini untuk meluangkan masa melakukan aktiviti bersukan dalam usaha mengamalkan gaya hidup sihat demi kesejahteraan diri yang boleh menyumbang menjadi bangsa, negeri dan negara kuat.
"Saya menteri jaga pekerja, jadi saya selalu kata kalau nak negara kita kuat, kalau nak negeri kita kuat, kalau nak bangsa kita kuat, maka golongan pekerja harus kuat, jadi pekerja juga kena bersukan. Saya tahu kadangkala kita sibuk, tetapi cuba luang masa sebab bersukan dapat sihatkan badan," katanya.
Sambutan HSN2025 peringkat TERENGGANU di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus pula disambut meriah dengan kehadiran lebih 8,000 peserta.
Dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk Kayuhan MADANI 30 kilometer (km), Larian Ria MADANI, Berjalan MADANI, cabaran memanah, boling padang veteran dan orang kurang upaya (OKU) dan Karnival Taekwando.
Turut berlangsung, acara sukan rakyat iaitu pertandingan tarik tali yang menarik perhatian ramai pengunjung.
Di KEDAH, lebih 11,000 pengunjung hadir seawal 7 pagi untuk turut sama memeriahkan sambutan HSN peringkat negeri di Alor Setar yang menyediakan sebanyak 36 acara melibatkan aktiviti kecergasan dan kesihatan di pekarangan serta di dalam pusat beli-belah Alor Setar Mall.
Program itu dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Dr K. Nagulendran yang turut melepaskan peserta acara Kayuhan MADANI, Larian Ria MADANI dan Jalan Ria MADANI yang disertai pelbagai lapisan usia.
Sementara itu, di JOHOR, sambutan HSN 2025 peringkat negeri disambut meriah dengan kehadiran lebih 10,000 peserta di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Pasir Gudang.
Program yang bermula seawal 6 pagi itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sukan dan kecergasan yang melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Di KELANTAN, sambutan HSN 2025 diadakan di Kota Bharu yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS Abdullah Hassan.
Abdullah berkata HSN dapat memberi kesedaran tentang kepentingan amalan gaya hidup cergas dan aktif, selain meningkatkan penglibatan masyarakat ke arah pembudayaan sukan yang menyeluruh serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
Di PAHANG, ribuan rakyat membanjiri Dataran Orang Kaya Haji Lipis, Kuala Lipis pagi tadi sempena sambutan HSN peringkat negeri yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pada program itu, Wan Rosdy turut menyampaikan Dana Sukan Komuniti (DSK) kepada 12 kelab sukan dan rekreasi negeri.
Di MELAKA, sambutan HSN 2025 peringkat negeri diadakan di Dataran Orang Kampung Merlimau, yang dirasmikan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk VP Shanmugam.
Beliau berkata seiring dengan tema 'Malaysia Aktif' tahun ini Melaka tampil lebih dinamik dengan penganjuran lebih 35 acara sukan termasuk sukan tradisional seperti konda kondi dan dam yang diangkat sebagai sukan ikonik di Melaka.
Sebanyak 359,000 peserta disasarkan terlibat sepanjang tiga hari sambutan HSN di negeri itu yang diadakan serentak di tiga daerah iaitu Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah.
Di NEGERI SEMBILAN, lebih 2,000 peserta memeriahkan sambutan HSN yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di Bandar Sri Sendayan, Seremban yang bermula seawal 6.30 pagi.
Pelbagai aktiviti dianjurkan sempena sambutan itu termasuk senamrobik, larian Malaysia Aktif 10 km, larian MADANI 5 km, Fun Walk 3 km dengan peserta mengenakan pakaian tradisional, pertandingan e-sukan, Muay Thai dan lompat tali yang berlangsung sehingga 5 petang.
Di LABUAN, sambutan HSN mencatatkan penyertaan mengagumkan melebihi 21,000 orang, melepasi sasaran awal sebanyak 15,000 peserta.
Acara yang berlangsung dari 10 hingga 12 Okt itu menampilkan 42 aktiviti sukan dan rekreasi yang dianjurkan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sukan serta belia.
Antara acara utama ialah Belia Kitani Fun Walk sejauh 3 km, Kayuhan Madani 30 km, Larian Ria Madani 5 km, Cabaran Aerobik Kanak-Kanak, serta Hari Tanpa Kereta Labuan Siri 3.
Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Husni Mohammad Salleh berkata sambutan luar biasa ini mencerminkan kesedaran serta semangat yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk Labuan untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami