Persatuan Bola sepak Malaysia meletakkan sasaran final kepada skuad Harimau Malaya pada saingan Piala AFF (Konfederasi Bola Sepak ASEAN) 2018 yang akan berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember ini.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata sasaran itu merupakan Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh beliau terhadap skuad kendalian Tan Cheng Hoe sejak dipilih menerajui kerusi panas itu pada Julai lalu.

"Saya dah tetapkan lama, untuk Sukan SEA Filipina 2019 (kendalian Datuk Ong Kim Swee) dan Piala AFF Suzuki, kita mahu final. Saya sasar final untuk kejohanan di peringkat ASEAN, itu KPI saya.

"Tapi ingin saya jelaskan itu adalah KPI, kalau jurulatih tak capai, kita tunggu dulu laporan kerana mereka mungkin ada alasan kukuh... Bukan bermakna bila saya cakap final, saya tak akan baharui kontrak," katanya di Wisma FAM hari ini.

Beliau ditanya mengenai sasaran itu pada sidang media selepas majlis pelancaran Diploma Pengajian Bola Sepak UiTM dan majlis penyerahan bendera pasukan UiTM ke Kejohanan Asia University Footbal Championship di China.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata untuk kejohanan peringkat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), pihaknya telah menetapkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke pusingan 16 terakhir.

"Untuk AFC, kita mahu kekalkan pencapaian ketika Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi presiden...Itu penanda aras saya," katanya.

Malaysia pernah mara ke final Piala AFF sebanyak tiga kali, tetapi hanya pernah muncul juara pada edisi 2010, manakala pada edisi sulung 1996 dan 2014, Harimau Malaya muncul naib juara selepas tewas kepada Thailand di final dalam kedua-dua edisi berkenaan.

Sementara itu, Hamidin berkata kehadiran pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh memberikan lebih banyak pilihan pemain kepada Cheng Hoe untuk memperkuatkan jentera serangan negara sempena Piala AFF.

"Saya rasa Cheng Hoe akan kumpulkan barisan pemain terbaik untuk saingan kali ini. Beliau masih menguji pemain yang sedia ada sepanjang beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini... Beliau dijangka umum pemain yang dipilihnya pada minggu depan," katanya.

-- BERNAMA