SUKAN
Harimau Malaya lebih bersedia hadapi ancaman Vietnam - Cklamovski

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski (kiri) bersama Kapten Harimau Malaya, Matthiew Davies (kanan) pada sesi Sidang Media bagi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih kebangsaan Peter Cklamovski yakin anak buahnya sudah bersedia untuk mencipta sejarah pada perlawanan kedua Kumpulan F bagi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam esok.
Ringkasan AI
- Harimau Malaya bersedia untuk mencipta sejarah: Ketua jurulatih Peter Cklamovski yakin Malaysia mampu menewaskan Vietnam selepas sedekad tanpa kemenangan, dengan barisan pemain warisan baharu yang digabungkan dalam pasukan.
- Strategi dan persiapan pasukan: Skuad kebangsaan yang kini berkongsi kedudukan teratas Kumpulan F akan menampilkan kestabilan di pertahanan, kreativiti di tengah padang, serta ketajaman serangan melalui pemain warisan dan naturalisasi.
- Fokus kepada permainan berpasukan: Kapten Matthew Davies menegaskan pasukan lebih memberi tumpuan kepada strategi keseluruhan berbanding kekuatan individu Vietnam, dengan harapan mempersembahkan aksi terbaik dalam perlawanan esok.
"Di sebalik rasa takut dengan rekod itu (menentang Vietnam), ini adalah satu cabaran yang kami dan semua barisan kejurulatihan mahu hadapi. Peluang kita untuk mencipta sejarah semakin hampir," katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.
Kali terakhir Malaysia menewaskan Vietnam adalah pada separuh akhir Piala AFF 2014 di Hanoi dengan keputusan 4-2, sebelum tewas tujuh kali dan seri sekali dalam semua kejohanan.
Ketika ini, Vietnam dan Malaysia berkongsi kedudukan teratas Kumpulan F dengan tiga mata selepas masing-masing mencatat kemenangan pada perlawanan pembukaan.
Cklamovski berkata kehadiran pemain warisan, bersama barisan pemain tempatan dan naturalisasi akan memberikan kestabilan di bahagian pertahanan, kreativiti di tengah padang serta ketajaman di jentera serangan.
Tujuh pemain warisan yang dipanggil menyertai skuad kali ini ialah penyerang Rodrigo Holgado, Imanol Machuca dan Joao Figueiredo; pertahanan Jon Irazabal, Facundo Garces dan Gabriel Palmero; serta pemain tengah Hector Hevel.
Mengulas lanjut, Cklamovski berkata beliau berpuas hati dengan komitmen para pemain sepanjang kem latihan pusat yang bermula 19 Mei lepas dan yakin pemain-pemain memahami falsafah bola sepak yang cuba diterapkan.
"Latihan berjalan dengan baik dan tahap kecergasan pemain juga menunjukkan peningkatan dan kami tidak sabar untuk menggabungkan semua itu ke dalam persembahan pasukan malam esok," kata jurulatih berusia 46 tahun itu.
Sementara itu, kapten skuad kebangsaan Matthew Davies berkata benteng pertahanan tidak akan memandang rendah ancaman Vietnam meskipun mereka kehilangan dua tonggak serangan iaitu Nguyen Cong Phuong dan Nguyen Xuan Son.
Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berkata fokus utama mereka adalah kepada prestasi pasukan secara keseluruhan dan bukan persembahan individu semata-mata.
"Satu daripada perbezaan yang saya lihat di bawah kendalian Peter (Cklamovski) adalah kami lebih menekankan bagaimana kami bermain secara berpasukan berbanding menilai prestasi individu.
"Kami juga lebih fokus kepada pasukan sendiri berbanding pihak lawan. Jadi, walaupun kami sedar (kekuatan Vietnam) dan menghormati mereka, saya fikir tumpuan kami tetap kepada apa yang ingin kami laksanakan malam esok," kata pemain berusia 30 tahun itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami