KUALA LUMPUR: Peminat bola sepak tanah air perlu menghormati dan percaya dengan strategi direncanakan pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon pada kempen Piala Asia 2023 di Doha, Qatar.

Bekas pengendali Harimau Muda A Mohd Azraai Khor Abdullah berkata beliau tidak sesekali mempertikaikan taktikal diatur jurulatih kelahiran Korea Selatan itu kerana ia melanggar etika seorang jurulatih.

"Beliau (Pan Gon) ada caranya tersendiri. Sebagai seorang jurulatih, bukan etika kita nak ulas taktikal jurulatih lain. Itu pendirian saya untuk tidak menyentuh taktikal yang digunakan jurulatih lain. Kita perlu hormati (strategi Pan Gon)," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Taktikal digunakan Pan Gon ketika menentang Jordan pada aksi pertama Kumpulan E yang menyaksikan skuad negara tumpas 0-4 itu, menjadi bualan dan kritikan hangat peminat bola sepak tempatan.

Mengenai perlawanan menentang Bahrain pada Sabtu ini, Mohd Azraai yakin Pan Gon mempunyai resipi tersendiri dalam mencari kemenangan sekali gus menebus kekecewaan pada perlawanan sebelumnya.

"Sudah tentu Pan Gon tidak akan duduk diam, beliau akan kenal pasti laporan teknikal daripada staf dan buat yang terbaik untuk permainan (seterusnya)," katanya.

Sementara itu, bekas pengendali skuad kebangsaan Wan Jamak Wan Hassan berkata barisan kejurulatihan negara telah membuat keputusan terbaik untuk menggunakan strategi dirangka Pan Gon ketika berdepan Jordan.

"Saya tidak boleh mencadangkan taktikal lain kerana pada saya, setiap jurulatih mengenali pemain yang ingin diturunkan dan apa taktikal perlu digunakan untuk mendepani pasukan lawan.

"Kalau dilihatkan semua kesebelasan utama, semuanya pemain terbaik dalam Malaysia. Jadi, tiada sebab setiap pemain yang diturunkan itu tidak boleh menonjolkan prestasi cemerlang," katanya.

Malaysia akan meneruskan perjuangan di pentas Piala Asia menentang Bahrain pada 20 Jan ini sebelum menutup kempen peringkat Kumpulan E menentang juara dua kali Korea Selatan pada 25 Jan.

Ikuti berita dan info terkini mengenai Piala Asia 2023 di asiancup.bernama.com.

-- BERNAMA