SPORTS
Isu pemain warisan, mereka juga rakyat Malaysia - Hannah

Hannah (tengah) bercakap pada sidang media selepas merasmikan Sepak Takraw League (STL) 2025 di sini pada Selasa.. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perdebatan kehadiran pemain warisan menjadi sebahagian skuad bola sepak Harimau Malaya masih belum mampu dinoktahkan, ramai risau ia akan melemahkan bakat bola sepak tempatan.
Ringkasan AI
- Perdebatan mengenai pemain warisan: Isu penyertaan pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya masih diperdebatkan, dengan kebimbangan ia mungkin menjejaskan bakat tempatan. Namun, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menegaskan bahawa pemain warisan tetap rakyat Malaysia dan patut diberi sokongan.
- Pandangan berbeza mengenai pemain naturalisasi: Legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh, berpendapat bahawa kebergantungan kepada pemain warisan dan naturalisasi menyebabkan skuad kebangsaan kehilangan identiti, manakala kerajaan berusaha memperkukuh hak kelahiran bagi anak Malaysia di luar negara.
- Penambahan pemain warisan dalam skuad kebangsaan: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski, mengesahkan bahawa seorang lagi pemain Malaysian Abroad akan menyertai pasukan menjelang perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.
“Kalau pemain warisan boleh memperkasakan permainan pasukan kebangsaan, saya rasa tiada masalah pun. Perlu diingat, mereka juga rakyat Malaysia, kita harus berikan sokongan.
“Kita sedang perjuangkan di Parlimen, pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan wanita Malaysia melahirkan anak di luar negara diberikan kenegaraan, kerana dia adalah anak Malaysia.
“Perbincangan pada ketika ini mengenai pemain warisan kurang membantu pasukan kebangsaan, sepatutnya seluruh negara berada di belakang mereka,” ujar beliau dalam sidang media selepas merasmikan Sepak Takraw League (STL) 2025 di sini pada Selasa.
Sebelum ini, legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh mencetuskan perbahasan mengenai revolusi Harimau Malaya yang disifatkan sebagai tiada identiti.
Menurutnya, kebergantungan terhadap pemain naturalisasi dan warisan yang beraksi di luar negara dilihat mengetepikan bakat tempatan.
Sebelum ini, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengesahkan seorang lagi pemain 'Malaysian Abroad' akan memperkuatkan skuad kebangsaan sebelum bertemu Vietnam untuk Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami