Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menasihatkan para penyokong Harimau Malaya yang bercadang hadir ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, pagi ini (Ahad) untuk membeli tiket Final 1 Piala Suzuki AFF 2018, Malaysia melawan Vietnam, pada Selasa (10 Disember) supaya tidak berbuat demikian bagi mengelak kekecewaan kerana tiket habis.

FAM menerusi kenyataan di Facebook memberitahu, ini kerana, berdasarkan keadaan terkini di Stadium Nasional, penyokong sedia ada yang telah beratur sejak malam Sabtu telahpun berbaris hingga mengelilingi satu stadium.

Dijangkakan, kehadiran yang ramai itu tidak dapat lagi menampung jumlah tiket yang akan dijual di kaunter tiket Pintu A dan Pintu E.


Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata, FAM sekali lagi berharap tiada lagi tambahan penyokong yang akan hadir ke Stadium Nasional, pada pagi Ahad kerana ia hanya akan menyebabkan mereka pulang hampa.

"FAM sangat menghargai sokongan yang ingin diberikan kepada skuad Harimau Malaya pada aksi Final 1 ini, namun kami tidak dapat memenuhi kehendak semua penyokong dan hanya dapat menjual maksimum 80,000 keping tiket bagi menyaksikan perlawanan berkenaan," ujarnya.