SUKAN
Jurulatih JDT puji karakter pasukan, hatrik Bergson

Xisco Munoz bercakap pada sidang media selepas perlawanan menentang Bangkok United pada Kejohanan Kelab ASEAN di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 25 Sept 2025. --fotoBERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Xisco Munoz memuji konsistensi dan karakter pemainnya selepas Harimau Selatan bangkit pada separuh masa kedua untuk menumpaskan Bangkok United FC 4-0 dalam pertembungan Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.
Ringkasan AI
- JDT menewaskan Bangkok United 4-0 selepas bangkit pada separuh masa kedua, hasil hatrik Bergson da Silva dan satu gol Joe Figuredo, sekali gus mendahului Kumpulan B dengan enam mata.
- Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz memuji konsistensi, strategi baharu selepas rehat dan komitmen pemain, selain menyifatkan Bergson serta Antonio sebagai tonggak penting pasukan.
- Jurulatih Bangkok United, Totchtawan Sripan mengakui pasukannya hilang kawalan selepas bolos gol pertama dan berjanji untuk bangkit dalam baki tiga perlawanan kumpulan.
Penyerang Brazil, Bergson da Silva menjadi pemain JDT yang diraikan malam tadi apabila melakukan hatrik dengan jaringan pada minit ke-45, 72 dan 91, manakala Joe Figuredo menambah satu lagi gol pada minit ke-51.
Kemenangan itu meletakkan JDT di tangga teratas Kumpulan B dengan enam mata daripada dua perlawanan sebelum bertandang ke Phnom Penh untuk menentang PKR Svay Rieng FC di Stadium Nasional Morodok Techno pada 4 Dis ini.
Munoz memuji sumbangan Bergson dan menyifatkan penyerang itu sebagai 'big force' atau kekuatan besar kepada pasukan.
"Bergson menjaringkan gol, tetapi saya tahu dia boleh memberi kami lebih banyak lagi. Dia bekerja keras setiap hari dan memiliki nilai yang sesuai untuk pasukan. Dia bukan sahaja penjaring gol tetapi juga rakan kongsi yang hebat untuk rakan sepasukannya," katanya.
Jurulatih dari Sepanyol itu juga memuji pemain tengah Antonio atas persembahannya yang menyeluruh, menyatakan pengalaman dan keupayaannya untuk mengimbangi serangan dan pertahanan memberikan kestabilan sepanjang perlawanan.
Sementara itu, Bergson berkata kemenangan adalah milik pasukan kerana kesemua mereka memberikan kerjasama yang baik dalam perlawanan itu.
"Bagi saya ia bukan mengenai berita saya menjaringkan gol atau tidak menjaringkan gol. Fikiran pertama saya di atas padang adalah untuk membantu rakan sepasukan saya. Sama ada saya menjaringkan tiga gol atau tiada (gol), tetapan minda saya sentiasa sama, untuk terus membantu pasukan," katanya.
Ketua jurulatih Bangkok United, Totchtawan Sripan mengakui pasukannya hilang kawalan setelah melepaskan gol pertama.
"Sebaik sahaja kami memulakan separuh masa kedua, kami bolos dan gambaran keseluruhan berubah. Mentaliti, kecergasan dan keyakinan pemain adalah faktor, tetapi kami harus mengakui JDT lebih unggul," katanya.
Beliau berkata asakan bertubi-tubi JDT menghukum kesilapan pasukannya namun berjanji untuk bangkit.
Kami masih mempunyai tiga lagi perlawanan sebelum rehat. Dengan lima pertandingan dalam satu musim ia adalah jadual yang berat, tetapi kami akan cuba yang terbaik untuk menguruskannya," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami