KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mempertimbangkan sepak takraw kembali menjadi sebahagian daripada sukan teras berdasarkan prestasi sukan itu di Sukan SEA di Kemboja baru-baru ini.

Menterinya Hannah Yeoh bagaimanapun berkata pihaknya memerlukan sedikit masa melakukan proses penelitian terhadap kemudahan yang disediakan pihak kerajaan serta mengadakan lebih banyak sesi taklimat umum bersama penggiat sukan itu bagi bertukar pandangan mendapatkan maklumat yang diperlukan.

"Hasrat sepak takraw dijadikan sukan teras, (KBS) kena adakan perbincangan selepas melihat prestasi sukan SEA dan bedah siasat akan dilakukan.

"Sukan (sepak takraw) mampu bagi pingat kepada kita dan sangat popular di mana kita perlu bagi semangat kepada mereka dan (isu sukan teras ini) akan menjadi satu keutamaan perbincangan ini di KBS," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Liga Sepak Takraw (STL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

STL akan berlangsung mulai Jumaat depan (26 Mei) hingga 5 Ogos ini di Kuala Kangsar, Perak.

Skuad sepak takraw kebangsaan telah memenangi empat pingat perak dan empat pingat gangsa pada temasya dwitahunan yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja.

Sebagai rekod, sepak takraw bersama angkat berat dan taekwondo adalah tiga sukan digugurkan Majlis Sukan Negara (MSN) daripada senarai sukan teras negara pada 2017, berikutan prestasi buruk serta tidak menunjukkan peningkatan berdasarkan semakan semula, termasuk kajian mendalam terhadap prestasi ketiga-tiga sukan itu sejak 2007.

-- BERNAMA