Tiga puluh lapan badan sukan di Kedah yang berdaftar dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) akan diberi nafas baru oleh kerajaan negeri bagi melahirkan atlet berwibawa dan cemerlang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Aminuddin Omar berkata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir telah mengarahkan supaya kekangan-kekangan yang menghalang pencapaian itu diatasi segera.

"Sekarang kita sedang merencanakan pemulihan persatuan-persatuan tersebut terutama yang tidak maju termasuk kebajikan atlet diberi perhatian supaya mereka dapat fokus kepada latihan.

"Cara ini kita yakin dapat melahirkan atlet berwibawa dan cemerlang," katanya kepada Bernama selepas merasmikan program santai sepak raga tuju anjuran bersama Pemuda Umno bahagian Pokok Sena dan Kelab Sepak Raga Tuju Pokok Sena di padang awam Taman Bandar Baru Pokok Sena di sini.

Menurut Aminuddin perancangan itu memerlukan masa lima tahun untuk melahirkan kumpulan atlet atau ahli sukan baharu yang berbakat bagi membawa cabaran negara di persada antarabangsa.

Beliau berkata Mukhriz yang sering turun ke padang memahami kehendak golongan muda yang meminati sukan dan sebab itu beliau mahu penekanan profesional diberikan supaya usaha-usaha membentuk atlet berwibawa tercapai.

Buat permulaan kerajaan negeri menggunakan khidmat legenda sepak takraw negara tahun 70an hingga 90an antaranya Adnan Saidin, Jamal Din dan Zabidi Sharif bagi mengembalikan kegemilangan Kedah dalam sukan itu, katanya.

Aminuddin berkata bekas-bekas pemain kebangsaan itu akan mengendalikan klinik-klinik sepak takraw bagi mencungkil, menggilap dan menyerap kemahiran mereka kepada pemain-pemain baharu dalam tempoh tiga tahun.

Bagi tempoh dua tahun seterusnya mereka akan didedahkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, katanya.

Mengenai sepak raga tuju, beliau berkata satu pertandingan merebut Piala Menteri Besar akan diadakan secara besar-besaran antara juara-juara daerah di Stadium Darul Aman di Alor Setar sebelum akhir tahun ini.

"Saya juga akan berbincang dengan Exco Pelancongan, Mohd Rawi Abdul Hamid supaya pertandingan ini dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri bagi memperkenalkan permainan tradisional ini kepada pelancong asing," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Pokok Sena, Harris Che Mat berharap program santai itu menjadi titik tolak bagi memulihkan imej Kedah dalam arena sepak takraw yang gah dalam tahun 70an dan 80an.

Katanya program itu disertai hampir 40 pasukan disertai juga oleh pemain bukan Melayu dan dalam konteks 1Malaysia ia membantu membentuk perpaduan kaum di negara ini.