BEKAS Setiausaha Agung, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Peter Vellapan, berpendapat tiada seorangpun antara empat calon sebelum ini layak untuk memegang jawatan sebagai presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

FAM menerima empat pencalonan bagi jawatan berkenaan yang terdiri daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; bekas presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

"Kami mahu bola sepak Malaysia dipertingkatkan dan biarlah FAM turun ke akar umbi bagi mencari pemimpin yang boleh membawa badan induk itu ke tempat yang sepatutnya ia berada," katanya.

Tambah Vellapan, individu yang berlatarbelakangkan kerabat diraja dan ahli politik tidak sesuai sama sekali untuk merebut kerusi nombor satu badan induk itu dan ia patut diberikan kepada golongan profesional sahaja.

Bagaimanapun, bekas naib presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin, pula menyifatkan Khairy sesuai untuk menggalas tugas itu dalam membantu pembangunan bola sepak negara tetapi tidak mudah kerana perlu mendapat kelulusan kabinet terlebih dahulu.

"Bagi saya, kalau Khairy menawarkan diri, kita harus melihat ia satu tindakan yang baik dan beliau boleh membantu untuk menentukan hala tuju bola sepak negara," katanya.

Kongres Pemilihan FAM ke-53 untuk penggal 2017-2021 akan diadakan pada 25 Mac 2017.