PENGENDALI Sabah, Jelius Ating, mendedikasikan kejayaan mara ke separuh akhir Piala Malaysia kepada semua rakyat negeri itu yang selama ini begitu mengharapkan pasukan berkenaan kembali menjadi tumpuan dalam kancah bola sepak negara.

"Kami mula membentuk pasukan ini sejak pertengahan musim lalu, saya gembira kerana prestasi pemain serta corak permainan kami terus meningkat sehingga kami berjaya sampai ke tahap ini.

"Pasukan ini juga bertuah kerana mempunyai penyokong yang selalu memberi motivasi kepada kami walaupun kadang-kadang mereka membuat kritikan.

"Kita lihat pada malam ini (semalam), Stadium Likas dibanjiri penyokong, sorakan semangat mereka bergema dan ianya melonjakkan lagi semangat para pemain untuk berjuang memburu kemenangan," kata bekas pemain berusia 47 tahun itu ketika ditemui selepas aksi suku akhir kedua bertemu Kelantan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Pada perlawanan malam tadi, Sabah menewaskan Kelantan 1-0 untuk layak ke separuh akhir buat kali pertama sejak 11 tahun dengan peraturan kelebihan gol di tempat lawan, walaupun secara agregat kedua-dua pasukan itu terikat 2-2.

Gol tunggal Sabah itu dijaringkan penyerang import, Rodoljub Paunovic, menerusi sepakan penalti pada minit ke-30 selepas sebelum itu bola terkena tangan pertahanan Kelantan di dalam kotak penalti.

Sementara itu, di sebalik kejayaan Sabah itu, Jelius tetap kagum dan memuji semangat yang ditunjukkan barisan pemain Kelantan.

Katanya, skuad kendalian Yusri Che Lah itu tidak pernah berputus asa untuk memburu gol penyamaan malah hampir memperolehnya pada masa kecederaan perlawanan.

"Kelantan sebuah pasukan yang baik, mereka tidak memiliki 'bintang' tetapi bekerja keras sebagai sebuah pasukan, kita lihat pemain mereka khususnya yang muda seperti tidak pernah penat untuk berlari.

"Bagaimanapun, kami juga beraksi dengan baik dan kami berhak untuk menang, apapun bagi saya, Kelantan kalah secara bermaruah," katanya.