Pasukan Kelantan akan menerapkan corak bertahan menjelang pertemuan Liga Premier menentang pasukan Johor Darul Ta'zim ll (JDT II) di Stadium Sultan Muhammad IV malam esok.

Ketua jurulatih Kelantan Yusri Che Lah berkata JDT ll telah merekodkan jaringan besar sepanjang beraksi pada saingan liga musim ini yang meletakkan pasukan itu berada di tangga teratas liga.

"Perkara ini memberikan kegusaran kepada kami kerana pasukan lawan sudah tentu mahukan mata penuh dan jaringan yang lebih besar bagi mengukuhkan kedudukan mereka.

"Saya akan terapkan permainan bertahan dengan tidak memberikan pasukan lawan menguasai lebih lama bola dan permainan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Selepas mengharungi 15 perlawanan Kelantan kini berada di kedudukan ke-10 liga dengan mengumpul 10 mata hasil daripada dua kemenangan, tujuh seri dan enam kekalahan.

Yusri berkata perlawanan tersebut juga memberikan kesukaran kepada pasukannya untuk mencuri mata walaupun bermain di halaman sendiri.

"Ia satu tugas agak sukar kepada kami kerana JDT ll bukan sahaja memiliki pemain muda, baharu dan mereka dibarisi oleh kelompok pemain yang lama dalam Liga Malaysia (Liga-M).

"Pemain saya perlu memberikan komitmen dan keinginan yang tinggi untuk mencuri mata malam esok," katanya.

Katanya walaupun perlu mengakui perlawanan malam esok adalah 90 minit yang sukar, namun beliau tidak mahu pemainnya terlalu menghormati pasukan lawan.

"Pemain jangan gusar dan tidak mudah melepaskan gol kerana saya percaya pemain saya mempunyai kekuatan dan kelebihan sendiri," katanya.

-- BERNAMA