KUALA LUMPUR: Keprihatinan dan cinta legenda bola sepak negara Allahyarham Khalid Ali terhadap pasukan negara dibuktikan apabila masih membicarakan tentang perkara itu pada hujung hayatnya.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang menyifatkan bekas pemain kebangsaan era 80-an itu sentiasa melontarkan buah fikiran serta kritikan demi melihat kemajuan pasukan negara.

Mengimbau kenangan lepas, Noorul berkata Allahyarham masih mahu bercakap mengenai peluang Malaysia layak ke Sukan Olimpik walaupun baru sedar daripada koma sewaktu menjalani rawatan.

"Saya teringat masa beliau (Allahyarham) terjaga daripada koma, beliau duduk bercakap dengan saya, beliau masih bercakap pasal bola, katanya sekarang budak-budak (pemain muda) mesti ada masa yang panjang, mesti ada program khas lima hingga enam tahun untuk ke Olimpik.

"Kalau boleh beliau nak bola sepak (di Malaysia) kembali gemilang macam zaman beliau dulu, itu cita-citanya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada isteri Allahyarham, Siti Norkhanah Mohammed Yatim di sini hari ini.

Sumbangan khairat kematian itu merupakan satu daripada Skim Bantuan Khas Yakeb.

"Saya sangat terharu dengan sumbangan ini dan berterima kasih sangat kepada Yakeb terutama Datuk Noorul kerana dari arwah sihat sampai sakit sentiasa ada membantu dan menemani arwah. Apa yang dilakukan Yakeb akan saya kenang selamanya," kata Siti Norkhanah pada peny

Turut hadir abang Allahyarham, Hanafiah Ali yang merupakan anggota skuad Harimau Malaya yang memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran.

Allahyarham Khalid menghembuskan nafas terakhir pada usia 66 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya, pada 6 Feb lepas akibat kanser paru-paru selepas kira-kira setahun melawan penyakit itu.

Allahyarham pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1977 hingga 1985, dengan pencapaian terbaiknya membantu skuad Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia.

-- BERNAMA