KUALA LUMPUR: Keputusan Malaysia menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026, merupakan keputusan bijak menurut penganalisis sukan Mohd Sadek Mustafa.

Beliau yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu berkata ini kerana, Malaysia kini berada di kedudukan yang kurang baik dari pelbagai aspek terutamanya ekonomi, untuk menganjurkan temasya sukan berprestij itu.

Beliau berkata keputusan itu juga menunjukkan kerajaan telah meneliti pelbagai aspek sebelum membuat sesuatu keputusan, sekali gus dapat memberi kepercayaan kepada rakyat kerana tidak membuat keputusan secara 'semberono'.

"Ada perbelanjaan besar yang perlu ditanggung kerajaan, anjuran itu impaknya tidak dapat dirangka dalam masa terdekat, dari segi ekonomi kita tidak mempunyai fizikal bagus.

"Kerajaan semestinya akan menumpukan pembangunan negara dan memulihkan sistem kewangan negara, disamping membantu rakyat dalam berhadapan kenaikan kos harga barang," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Sadek berkata sekiranya kerajaan menerima tawaran berkenaan, ia seolah-olah cuba bermewah-mewah di dalam keadaan yang tidak sepatutnya.

Beliau berkata apatah lagi prestasi sukan negara turut berada dalam keadaan merundum sejak tahun lalu, dengan pencapaian Sukan SEA Kemboja 2023 dan Sukan Asia Hangzhou 2022 yang kurang memuaskan.

"Ini termasuk fasiliti sedia ada sejak 1998, ia sudah ketinggalan dan kawasan Bukit Jalil sudah sesak, tidak sesuai untuk bangunkan atlet, Malaysia perlu bangunkan ekosistem pekan baharu dengan lebih kondusif untuk pembangunan atlet.

"Dalam masa sama kita bangunkan bandar baru sukan yang mesra semua aspek dari segi fasiliti sukan, pusat kajian, tadbir urus sukan negara dan di mana atlet dibangunankan, ada tempat pertandingan dan tepat latihan," katanya.

Mohd Sadek berkata negara juga perlu membelanjakan wang ke arah pembaharuan struktur sukan dari aspek pembangunan atlet dan pengurusan, sebelum menawarkan untuk menganjurkan mana-mana temasya sukan berprestij.

"Kalau kita nak tawarkan untuk anjurkan temasya besar mungkin untuk Sukan Asia 2034, pada ketika itu atlet sudah bersedia, dan Malaysia bersedia jadi tuan rumah sekiranya segala pembaharuan pengstrukturan sukan dilakukan," katanya.

KBS menerusi kenyataan semalam mengumumkan Malaysia menolak tawaran menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 selepas Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini menetliti semua aspek penganjuran dan implikasinya.

Menurut kenyataan KBS impak ekonomi daripada penganjuran temasya sukan itu, tidak dapat dikenal pasti dalam jangka masa singkat.

KBS turut memaklumkan bahawa Kerajaan MADANI mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat buat masa ini.

Sebelum ini, MOM mengesahkan CGF menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 bersama pelaburan kewangan menjangkau GBP100 juta (RM603 juta), bagi menggantikan Victoria, Australia yang menarik diri tahun lepas.

-- BERNAMA