KUALA LUMPUR: Peminat sukan tempatan dinasihatkan untuk memberi ruang kepada pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia, mencari nafas baharu untuk meneruskan kariernya dalam dunia badminton.

Penganalisis sukan tempatan Datuk Dr Pekan Ramli berkata keputusan pemain berusia 25 tahun itu, untuk berehat sementara waktu daripada menyertai kejohanan badminton tepat, terutamanya pada waktu sukar yang menyaksikan prestasi ditonjolkan beliau semakin merudum sejak akhir-akhir ini.

Beliau merasakan perkara diperlukan Zii Jia ketika ini ialah sokongan moral tanpa berbelah bahagi daripada masyarakat sekeliling, sekiranya Malaysia mahu melihat anak kelahiran Kedah itu kembali kepada momentum cemerlangnya.

"Saya rasa keputusan Zii Jia untuk berehat satu keputusan tepat bagi meredakan tekanan yang dihadapi. Saya lihat itu perkara positif yang juga dilakukan atlet antarabangsa sekiranya mereka rasa prestasi merudum, cara terbaik untuk lupakan segalanya ialah dengan bermula ialah start afresh.

"Keputusan beliau untuk tidak menyertai beberapa siri kejohanan juga bagus, sebab daripada situ beliau dapat tekanan terutamanya apabila tewas dalam kejohanan. Namun bukan bermaksud Zii Jia perlu berehat terlalu lama, sebab nanti ranking dunia beliau semakin jatuh," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Pekan mencadangkan tempoh masa antara sebulan hingga tiga bulan sudah memadai buat Zii Jia, memberi perhatian kepada dirinya selain meningkatkan semangat beliau untuk kembali bertarung dalam gelanggang.

Beliau berkata Zii Jia perlu menerima hakikat, bahawa menjadi pemain utama negara bukan mudah apabila sering kali harapan setinggi gunung diletakkan di bahu mereka, yang mampu menghadirkan kilauan pingat di pentas berprestij.

Atlet yang berprestasi tinggi sering kali akan disanjung tinggi apabila meraih kejayaan, namun akan dikriktik hebat setiap kali berhadapan dengan kegagalan.

"Sebagai pemain badminton negara tidak kira profesional atau di bawah badan induk Persatuan Badminton Malaysia, kena terima hakikat segala maklum balas daripada peminat. Mereka akan berkongsi kegembiraan dan mengecam sekiranya (tidak sampai tahap yang diharapkan) namun itu lumrah kehidupan atlet negara.

"Lagipun dijangka bulan depan beliau mempunyai Wong Tat Meng sebagai jurulatih, jadi saya pasti Tat Meng akan merangka pelan yang bersesuaian dengan apa yang diperlukan Zii Jia. Kehadiran jurulatih di sisi pasti menjadi penguat semangat untuk Zii Jia memulihkan keyakinan dan baiki kelemahan yang masih ada," katanya.

Pekan percaya khidmat pakar psikologi perlu ditagih Juara All England 2021 itu untuk meluahkan segala yang terbuku dalam hati, selain mempunyai rakan sepelatih yang setara dengannya supaya mampu menjalani proses latihan yang lebih mantap.

Menerusi kemas kini Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Zii Jia tergelincir daripada kedudukan 10 terbaik dunia pada Rabu.

Beliau sebelum ini menghuni tangga ke-10 dunia turun satu anak tangga selepas dipintas pemain China, Li Shi Feng untuk meletakkan beliau di kedudukan ke-11 dunia.

Zii Jia turut tewas seawal pusingan pertama Kejohanan Terbuka Indonesia 2023 pada Rabu, kepada pemain India Lakshya Sen 21-17, 21-13, dalam tempoh 33 minit di Stadium Istora Senayan.

Selepas kekalahan itu, Zii Jia mengumumkan beliau mengambil keputusan untuk berehat sementara waktu daripada menyertai kejohanan badminton, namun tidak mendedahkan berapa lama tempoh rehat yang akan diambil oleh beliau.

-- BERNAMA