Kerajaan Malaysia mempunyai hak menasihatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau mana-mana persatuan sukan mengenai keselamatan sebelum menghantar pasukan kebangsaan menyertai pertandingan di luar negara.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata keputusan melarang skuad Harimau Malaya ke Pyongyang, Korea Utara untuk aksi pusingan kelayakan Piala Asia, bukan campur tangan dalam urusan FAM, tetapi berdasarkan faktor keselamatan.

"Pasukan bola sepak kebangsaan juga merupakan rakyat Malaysia dan kerajaan adalah badan yang paling tinggi dari segi menjaga keselamatan rakyatnya.

"Hanya kerajaan mampu menilai tahap keselamatan, bukannya persatuan sukan," katanya kepada pemberita pada sidang media Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Belia dan Sukan di Pusat Belia Antarabangsa, di sini hari ini.

Semalam, kerajaan melarang skuad Harimau Malaysia ke Pyongyang, susulan keputusan mengusir Duta Korea Utara, Kang Chol Sabtu lepas, menjadikan situasi semasa dilihat tidak selamat untuk warga Malaysia berkunjung ke Korea Utara buat masa ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan keputusan kerajaan Malaysia melarang skuad negara beraksi di Korea Utara tidak boleh dianggap sebagai campur tangan kerajaan dalam badan induk itu.

Hamidin berkata larangan itu melibatkan soal keselamatan skuad Harimau Malaysia serta penyokong negara, tetapi ia tidak melibatkan urusan pentadbiran FAM.

"Tafsiran FIFA mengenai campur tangan kerajaan adalah jika ada anggota (FAM) membuat aduan kepada FIFA, tetapi dalam hal ini FAM memang bersetuju dengan keputusan kerajaan kerana ia melibatkan isu keselamatan.

"Kita tetap dengan pendirian kerajaan untuk mengadakan perlawanan ini di gelanggang berkecuali," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Anugerah Pemain Bulanan Terbaik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) di sini, hari ini.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dijadual beraksi menentang Korea Utara pada aksi sulung Kumpulan B, pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2019 di Pyongyang, 28 Mac ini.

-- BERNAMA