KUALA NERUS: Kerajaan negeri memberikan insentif sebanyak RM60,000 kepada dua atlet negeri yang berjaya melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia, Olimpik Tokyo yang dijadualkan bermula 23 Julai ini.

Dua atlet tersebut ialah pelari pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias dan atlet sukan paralimpik, Zuhairie Ahmad Tarmizi yang bakal mewakili negara dalam sukan berbasikal bagi acara lebuh raya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, insentif tersebut bagi membantu kedua-dua atlet tersebut membuat persiapan akhir sebelum terlepas ke Tokyo dalam waktu terdekat.

"Kita harap sumbangan sebanyak RM30,000 seorang ini dapat membantu atlet membuat persiapan pada saat-saat akhir dengan lebih baik dan juga sebagai galakan untuk mereka berusaha lebih gigih bagi mengharumkan nama negara.

"Besar harapan kami untuk melihat mereka membawa pulang apa jua pingat dari pentas pertandingan sukan terbesar dunia itu," katanya kepada pemberita selepas sesi 'video call' bersama atlet kontinjen Terengganu yang akan menyertai Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020, malam tadi.

Selain Azreen Nabila dan Zuhairie, dua atlet lain yang telah menerima insentif sebelum ini ialah pelumba sensasi negara, Azizulhasni Awang daripada sukan berbasikal trek dan Khairul Anuar Mohamad daripada sukan memanah.

-- BERNAMA