KUALA NERUS: Kerajaan Negeri Terengganu menyediakan insentif khas untuk pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan yang berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol, 23 Nov lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abd Karim berkata insentif dalam bentuk wang tunai itu akan diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Rabu depan dalam satu majlis khas yang turut diselitkan pertunjukan perlumbaan oleh pelumba-pelumba cilik Terengganu.

Beliau berkata pemberian insentif tersebut sebagai pencetus semangat dan sumbangan untuk pelumba kelahiran Terengganu itu terus berusaha dan melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

"Alhamdulillah kerajaan negeri sangat berbangga dengan pencapaian Qabil Irfan yang bukan sahaja mengharumkan nama negara malah mengangkat nama negeri Terengganu.

"Oleh kerana Qabil Irfan berjaya menjadi juara di peringkat dunia, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi insentif khas yang akan disampaikan oleh Menteri Besar Rabu depan," katanya ketika menyambut kepulangan Qabil Irfan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, di sini malam tadi.

Sementara itu Qabil Irfan berkata beliau amat bersyukur kerana dapat menghadiahkan kemenangan kepada negara dan juga negeri kelahirannya.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata sebelum meraih kejayaan tersebut, pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi termasuk sesi latihan yang mencabar dan keadaan cuaca yang sejuk mencecah 6 darjah Celsius.

"Ini adalah penyertaan kali kedua saya di Kejuaraan Siri Dunia MiniGP. Kali pertama tahun lalu hanya berjaya mendapat tempat keempat keseluruhan.

"Saya tidak sangka dapat jadi juara. Sasaran saya untuk layak ke pusingan akhir pun dah syukur. Tetapi alhamdulillah dapat atasi semua halangan walaupun cuaca sangat sejuk sehingga menyebabkan jalan basah serta licin," katanya yang meminati pelumba motosikal dari Itali, Valentino Rossi.

-- BERNAMA