KEINGINAN Mohamed Salah untuk meledak gol dipuji pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, selepas pemain kebangsaan Mesir itu menjaringkan gol yang ketujuh berturut-turut dalam semua kejohanan.

Salah menjaringkan gol pembukaan ketika membantu pasukan meraih kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United, gol yang ke-24 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk menyamai bilangan jaringan Harry Kane dalam persaingan merebut kasut emas.

Sadio Mane memastikan kemenangan Liverpool selepas perlawanan bersambung, manakala dua rayuan sepakan penalti Salah ditolak oleh pengadil perlawanan Graham Scott, dalam usaha untuk mendapatkan jaringan.

Klopp teruja dengan impak yang dipamerkan oleh Salah sejak menyertai kelab dari AS Roma.

"Kami menyedari apabila kami menandatangani Salah, dia seorang yang pemain yang gemar menyerang," kata Klopp.

"Keinginan untuk menjaringkan gol, menjadikan Salah sering memberikan masalah kepada lawan.

Alex Oxlade-Chamberlain mengumpan jaringan pembukaan Salah dan bekas pemain tengah Arsenal itu turut menarik perhatian KLopp, walaupun beliau menyedari masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki.

"Kami berasakan Chamberlain masih lagi boleh meningkatkan mutu permainannya.

"Dia masih muda tetapi perlu beraksi dengan lebih konsisten.

"Dalam sesi latihan, Chamberlain mempunyai sentuhan penyudah yang berkualiti tetapi tidak memiliki sifat seperti Salah, itu merupakan selangkah lebih tinggi daripadanya.

"Kebolehan membuat keputusan serta melakukan larian, dia telah berkembang menjadi salah seorang pemain yang penting buat kami."