PASIR PUTEH: Kompleks Sukan Bukit Merbau antara venue Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan 2026, bakal mempunyai sebuah stadium utama berkapasiti 20,000 penonton yang lengkap dengan padang bola sepak dan trek olahraga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kompleks tersebut juga bakal dilengkapi dengan arena tertutup yang memiliki gelanggang pelbagai guna dan boleh memuatkan 1,000 penonton.

Beliau berkata selain itu, sebuah stadium hoki yang mempunyai dua padang berserta astaka berkapasiti 500 penonton juga antara komponen Kompleks Sukan Bukit Merbau.

"Antara komponen lain di kompleks ini ialah pusat skuasy berkapasiti 100 penonton dengan lapan gelanggang skuasy dan satu gelanggang skuasy mudah alih serta dua gelanggang boling padang berbumbung dengan kapasiti 200 penonton.

"Kompleks ini juga memiliki lapang sasar menembak dengan kapasiti 100 penonton yang turut dilengkapi kemudahan lapang sasar tertutup 30 meter (30 lorong) serta lapang sasar 25 meter dan 50 Meter (15 lorong)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek Kompleks Sukan Bukit Merbau yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Roslan Wan Hamat, di sini semalam.

Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM256 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata projek pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau di kawasan seluas 64.7 hektar (160 ekar) kini berada di peringkat prapelaksanaan dengan makmal pengurusan nilai telah diadakan pada Jun lepas.

"Tender bagi kompleks sukan ini akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut komponen kemudahan di situ dan dimulakan dengan tender bagi pembinaan stadium yang akan dikeluarkan pada hujung bulan ini.

"Pembinaan kompleks ini dijangka bermula pada awal 2023 dan siap sepenuhnya pada akhir 2025," katanya.

-- BERNAMA