KYLIAN Mbappe menyertai semula skuad pasukan utama Paris St Germain (PSG) selepas "perbincangan yang sangat membina dan positif" di antara kelab dan aset bintang mereka itu.

Masa depan bintang Perancis itu telah menjadi subjek spekulasi hangat sepanjang musim panas selepas melahirkan hasrat utamanya untuk berpindah ke Real Madrid, lantas baru-baru ini dia dihalang daripada menjalani latihan skuad senior di sebalik hubungan keruh kedua-dua belah pihak itu.

Dia berada di tempat penonton ketika PSG memulakan misi pertahanan kejuaraan Ligue 1 mereka dengan cara yang kurang memberangsangkan apabila seri tanpa jaringan ketika menghadapi Lorient semalam dengan Neymar merupakan seorang lagi bintang yang tidak muncul dalam skuad itu pada hari perlawanan.

Namun, PSG malam tadi mengesahkan Mbappe telah kembali ke pangkuan latihan pasukan utama dan penyerang berusia 24 tahun itu dilaporkan bersedia untuk melanjutkan kontraknya dengan kelab itu.

PSG berkata dalam satu kenyataan di saluran sosial mereka: "Berikutan perbincangan yang sangat membina dan positif di antara PSG dan Kylian Mbappe sebelum perlawanan PSG-Lorient, pemain itu telah dimasukkan semula ke dalam skuad latihan pasukan utama pagi ini."

Kontrak Mbappe -- yang telah diberi kebenaran untuk berunding dengan Al Hilal selepas kelab Liga Pro Saudi itu membentangkan bidaan rekod dunia 259 juta pound (RM1.5 bilion) bulan lalu -- hanya berbaki setahun lagi di Paris.

Dia setakat ini menolak sebarang lanjutan dan boleh memulakan rundingan untuk perpindahan percuma pada Januari depan, tetapi dia kini dilaporkan sedia memberi komitmen kepada PSG hingga 2025, seterusnya membenarkan kelab itu menjualnya kepada Real musim panas depan. -- Stadium Astro