SPORTS
Lalui musim mengecewakan, namun Red Devils tetap dapat sambutan hangat

Sorakan bergema sebaik bas rasmi kelab tiba sekitar jam 8 malam, diiringi kawalan keselamatan rapi yang memastikan ketibaan pasukan berjalan lancar. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Yang dinanti-nantikan akhirnya tiba, Manchester United bersama skuad penuh mereka selamat mendarat pada Isnin menjelang aksi Maybank Challenge Cup 2025 menentang ASEAN All Stars 28 Mei ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Seawal tengah hari, puluhan peminat setia mula memenuhi pekarangan hotel, lengkap dengan jersi pasukan dan harapan untuk sekurang-kurangnya menerima sekilas pandang idola mereka.
Sorakan bergema sebaik bas rasmi kelab tiba sekitar jam 8 malam, diiringi kawalan keselamatan rapi yang memastikan ketibaan pasukan berjalan lancar.
Antara yang mencuri tumpuan ketika ketibaan ialah kapten pasukan Bruno Fernandes, penjaga gol Andre Onana, dan pemain sayap lincah Alejandro Garnacho, yang disambut dengan sorakan penuh teruja oleh penyokong setia.Meskipun Red Devils menamatkan musim 2024–25 di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris, catatan terburuk mereka sejak 1974, sambutan di Malaysia membuktikan kesetiaan peminat tidak pernah luntur.
Jurulatih dari Portugal, Rúben Amorim, yang kini berada di bawah tekanan selepas gagal menaikkan prestasi pasukan dilihat masuk ke hotel, ditemani barisan pegawai teknikal serta bakat muda seperti maestro tengah Kobbie Mainoo, penyerang berpotensi, Joshua Zirkzee dan bintang remaja, Shea Lacey.
Perlawanan yang bakal menyaksikan gabungan bintang-bintang Asia Tenggara menentang kelab legenda Eropah itu mendapat sambutan luar biasa, dengan lebih 60,000 tiket telah terjual setakat ini.
Stadium Nasional Bukit Jalil yang berkapasiti 80,000 dijangka sesak apabila wisel sepak mula ditiup pada malam Rabu ini.
Penganjur turut mengesahkan sidang media rasmi akan berlangsung pada Selasa, diikuti sesi latihan terbuka United di Bukit Jalil pada malam sama.
Aksi itu bukan sekadar perlawanan persahabatan, tetapi simbol penghargaan kepada penyokong di rantau ini, serta peluang United memberi sesuatu kepada peminat mereka selepas musim penuh kekecewaan.
Perlawanan menentang gabungan pemain-pemain bintang ASEAN bukan sahaja untuk menceriakan peminat Red Devils, tetapi ia juga bagi menyalakan semula api keyakinan dalam kalangan penyokong global mereka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami