Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berharap lebih banyak syarikat swasta tampil untuk menaja Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Setiausaha Agung MOM Datuk Low Beng Choo berkata penglibatan pihak swasta, terutama syarikat Malaysia adalah penting bagi mencapai sasaran agar Sukan SEA itu adalah yang terbaik dalam sejarah penganjurannya.

Beliau berkata selain penajaan berskala besar, syarikat-syarikat juga boleh menaja dalam skala kecil untuk sukan dan venue tertentu bagi menjadikan Sukan SEA edisi ke-29 itu berjaya dan sentiasa diingati.

"Kami sedang mencari penajaan berbentuk tunai serta penaja barangan, misalnya membekalkan makanan, minuman, kasut, peralatan, logistik dan lain-lain. Sukan SEA adalah projek nasional, setiap seorang daripada kita perlu memainkan peranan untuk menjadikan ia berjaya.

"Kita juga perlu membuat peserta dari negara-negara ASEAN gembira dengan layanan kita dan cara kita menganjurkan temasya sukan ini untuk memberi mereka satu pengalaman yang hebat," katanya kepada Bernama.

BACA: KBS nafi wujud kepincangan dalam pemberian Tender Peralatan Gimnastik Sukan SEA

Difahamkan, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) bakal menerima penajaan yang lumayan daripada Ajinomoto Malaysia dalam tempoh terdekat.

Pada November lepas, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata MASOC telah memperoleh RM56.7 juta penajaan, melibatkan RM14.7 juta dalam bentuk tunai dan RM42 juta dari segi barangan.

Khairy yang juga Pengerusi MASOC, seterusnya berkata jawatankuasa itu memerlukan lagi RM23.3 juta dalam bentuk tunai bagi memenuhi sasaran RM80 juta penajaan.

Ditanya mengenai kekurangan hiasan dan papan tanda dengan hanya 187 hari lagi menjelang Sukan SEA 2017, Beng Choo berkata lebih banyak alatan itu akan dipasang apabila temasya sukan itu semakin hampir berlangsung.

Malaysia akan menganjurkan Sukan SEA buat kali keenam itu dari 19 hingga 31 Ogos depan, sementara Sukan Para ASEAN ke-sembilan pada 17 hingga 23 Sept.

-- BERNAMA