Jurulatih Barcelona, Luis Enrique, memuji watak penting yang dimainkan oleh Lionel Messi ketika menjaringkan hatrik menentang Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara.

Messi menjaringkan tiga gol dan membantu jaringan Neymar, untuk Barca meraih satu lagi kemenangan 4-0 membanggakan Barca di Nou Camp, malam tadi.

Enrique memuji bintang Argentina itu, yang hanya membuat kemunculan kedua, selepas kembali daripada kecederaan pangkal paha.

"Dia memainkan watak yang cukup penting. Dia terlibat dalam semua situasi penting perlawanan," katanya melalui laman web kelab itu.

"Messi menjaringkan gol seolah-olah dia sedang bermain di taman permainan sekolah."

Dia menambah: "Tidak penting jika dia baru pulih daripada kecederaan. Apa yang penting adalah cara dia mengendalikan permainan."

Messi meletakkan Barca di hadapan sebelum Claudio Bravo dibuang padang, dan dia menjaringkan dua lagi gol sebelum Jeremy Mathieu, juga dilayangkan kad merah.

Luis Enrique berasakan kad merah untuk Bravo yang mengubah perlawanan, dengan Messi kemudian membantu Neymar -- yang terlepas penalti -- untuk menjaringkan gol.

"City adalah pasukan yang sentiasa melakukan perubahan ketika perlawanan. Ia sukar untuk bermain menentang mereka," katanya.

"City bermain dengan baik sehingga akhir perlawanan; penyingkiran Bravo mengubah perlawanan."

Barcelona berada di kedudukan teratas Kumpulan C dengan sembilan mata, lima mata daripada City di tempat kedua, selepas tamat tiga perlawanan.