KUALA LUMPUR: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan untuk menangguhkan saingan Liga Premier yang dijadual bersambung pada 3 Julai ini, ke suatu tarikh akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata keputusan itu dibuat susulan saranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berikutan situasi semasa kes harian COVID-19 masih berada pada tahap membimbangkan.

Penangguhan itu turut melibatkan perlawanan tertunda Perak FC II bertemu Kelantan FC yang sebelum ini dijadual berlangsung pada 29 Jun, serta Selangor FC 2 menentang Sarawak United yang sepatutnya diadakan pada 30 Jun.

"Ini kerana Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Sekretariat Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Sukan dan Rekreasi telah memberikan pandangan kepada MFL supaya menangguhkan sementara perjalanan Liga Premier sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

"Bagaimanapun, program latihan berpusat mengikut model gelembung sukan secara 'camp-based training' termasuk perlawanan latihan tertutup dibenarkan selaras SOP yang dikeluarkan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ab Ghani berkata keputusan itu dan perkembangan terkini mengenai perjalanan Liga Malaysia 2021 sudah dimaklumkan kepada semua pasukan semasa sesi taklimat dalam talian bersama ketua pegawai eksekutif kelab-kelab Liga Super dan Liga Premier yang dipengerusikan beliau hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan setakat ini tiada perubahan bagi jadual Liga Super 2021 yang dijadual bersambung pada 24 Julai.

"Namun status Liga Malaysia ini tertakluk kepada arahan terkini pihak kerajaan," katanya.

-- BERNAMA