IPOH: Perak FC menagih pengalaman yang dimiliki beberapa pemain senior untuk membantu meletakkan pasukan dalam kedudukan terbaik pada saingan Liga Premier musim ini.

Ketua jurulatih Yusri Che Lah berkata pihaknya telah mengikat dua bekas pemain kebangsaan seperti Indra Putra Mahayuddin, pemain sayap kiri Kuala Lumpur (KL) City FC pada musim lepas dan bekas pemain tengah Selangor FC Wan Zack Haikal Wan Noor, bagi memperkuatkan pasukan.

Selain itu, pasukan turut diperkuatkan dengan kehadiran bekas pemain tengah Melaka United FC Ahmad Syamim Yahya dan bekas penjaga gawang UiTM FC Muhammad Zamir Selamat.

"Pengalaman mereka amat ditagih dalam membantu dan membimbing pemain muda yang berada dalam pasukan untuk saingan kali ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Yusri berkata bagi memastikan pasukan terus berada pada kedudukan terbaik liga, pihaknya juga sedang mengenal pasti beberapa pemain import yang akan dipilih bagi memperkuatkan pasukan.

"Kalau boleh saya nak dapatkan empat pemain import sepertimana yang dibenarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)... tetapi ini semua bergantung kepada pihak pengurusan," katanya dan menambah setakat ini seramai 23 pemain tempatan telah menandatangani kontrak rasmi bersama pasukan sejak 31 Jan lalu.

Perak FC bakal memulakan aksi saingan Liga Premier menentang Kelantan United di gelanggang lawan pada 5 Mac depan.

Sementara itu, Yusri berkata skuad The Bos Gaurus tidak meletakkan sasaran tertentu pada saingan musim ini sebaliknya mahu semua pemain menunjukkan komitmen tinggi dan persembahan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

"Saya akui siapa pun inginkan kejuaraan... baik daripada jurulatih mahupun peminat itu sendiri tetapi apa jua yang kami perlu capai, ia memerlukan kerjasama penuh daripada semua pihak termasuk para pemain.

"Bagi saya, kami perlu lakukan yang terbaik untuk memberikan kemenangan dalam setiap perlawanan sehingga akhirnya pemain mampu meletakkan pasukan di kedudukan terbaik," katanya.

-- BERNAMA