KUALA TERENGGANU: Pakar pecut pasukan Terengganu Polygon Cyling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh tidak mahu insiden pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) lepas, menggugat peluang pasukan itu memperoleh penamat yang lebih sempurna pada edisi kali ini.

Sebaliknya, beliau yang tersingkir berbaki tiga peringkat pada edisi lepas sudah mengambil iktibar susulan kejadian itu dan akan lebih berhati-hati bagi mengharungi saingan pada penyertaan kali ke-14 beliau di LTdL kali ini.

"Bagi saya perkara itu kalau kena dekat kita memang kena terimalah biarpun bagi saya ia bukan apa-apa pun.

"Tapi bila ramai yang mengetahui perkara itu dan video insiden itu tersebar di mana-mana (platform) jadi saya kena berjaga-jaga. InsyaAllah kali ini ia tidak akan berlaku lagi," katanya ketika ditemui.

Pada LTdL 2022, Mohd Harrif difahamkan telah melanggar peraturan pertandingan selepas berpaut pada kenderaan ketika perlumbaan peringkat kelima dari Kuala Kangsar ke Kulim.

Ketiadaan pakar pecut itu sekali gus menjadikan cabaran TSG untuk baki tiga perlumbaan LTdL menjadi sedikit sukar selepas turut kehilangan kapten pasukannya Youcef Reguigui pada peringkat keempat.

TSG menamatkan saingan LTdL 2022 dengan berada di kedudukan keenam daripada 20 pasukan manakala dua pelumbanya, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff menyambar Jersi Merah (Raja Bukit) sementara rakan sepasukannya, Jambaljamts Sainbayar menyambar Jersi Putih (Terbaik Asia) pada edisi tersebut.

Beliau yang memegang rekod penyertaan terbanyak dalam sejarah LTdL dengan 14 penampilan, dalam masa sama meletak sasaran melebarkan rekod kemenangan peringkat perlumbaan peribadinya.

Sejak penyertaannya di LTdL pada 2008, Mohd Harrif menjadi antara pelumba tempatan yang paling berjaya dalam saingan berprestij itu, apabila telah meraih tiga kemenangan peringkat perlumbaan membabitkan Peringkat 2 pada musim 2019 dan di Peringkat 2 serta 5 pada musim 2020.

Saingan LTdL 2023 bakal membuka tirainya hari ini yang membabitkan kayuhan dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 187.4 kilometer (km), membabitkan tiga zon pecutan iaitu di Dungun, Ajil dan Tok Jamal serta dua zon pendakian di Jerangau dan Sekayu.

-- BERNAMA