KUALA LUMPUR: Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin sah enyertai kelab bola sepak divisyen tiga Jepun, Yokohama Sports and Culture Club (YSCC) secara pinjaman daripada kelab Belgium, KV Kortrijk.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh kelab bola sepak Jepun berkenaan yang mengesahkan pemain berusia 22 tahun itu akan meneruskan kariernya di kelab itu, namun mereka tidak memaklumkan tempoh beliau akan berkhidmat di YSCC.

"Pemain (Luqman Hakim) dari KV Kortrijk (Belgium) telah memutuskan untuk menyertai tempoh perpindahan jangka panjang, jadi kami ingin memaklumkan kepada anda," menurut hantaran di laman Instagram YSCC, hari ini.

Dalam pada itu, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan, itu dalam hantaran sama turut berkongsi keterujaan apabila diberi peluang untuk menyertai YSCC.

"Saya sangat gembira akhirnya menandatangani kontrak dengan YSCC. YSCC adalah kelab yang hebat dan saya berasa sangat selesa di sini. Saya tidak sabar untuk memulakan dan memberikan yang terbaik untuk kelab ini. Mari kita mulakan kerja," katanya.

Luqman Hakim sebelum ini menabur bakti dengan kelab divisyen satu Iceland, Njardvik FC namun telah menamatkan tempoh kontrak.

Disember lalu, Luqman Hakim telah kembali bersama skuad kebangsaan Bawah-23 tahun (B-23) untuk menghadapi saingan aksi persahabatan di China pada 23 dan 26 Dis, namun tidak dapat beraksi akibat kecederaan.

-- BERNAMA