Skuad hoki wanita kebangsaan terus dirundung malang setelah tewas 1-3 kepada naib juara 2016, China pada aksi kedua pusingan awal Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia Wanita di Stadium Sunrise, Donghae, Korea Selatan, hari ini.

Ia merupakan kekalahan kedua dialami skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah itu yang tewas dengan jaringan sama kepada pasukan tuan rumah pada aksi pembukaan, semalam.

Pada aksi hari ini, China mendahului 2-0 hasil jaringan padang Zhang Jinrong seawal minit ketiga perlawanan sebelum Li Hong menggandakan kedudukan pada minit ke-20, juga menerusi gol padang.

Hanis Nadia Onn berjaya merapatkan kedudukan untuk Malaysia menerusi gol padang pada minit ke-22, namun Cui Qiuxia memastikan kemenangan sulung China melalui pukulan penalti pada minit ke-53.

Mengulas mengenai kekalahan tersebut, Muhammad Dharma Raj mengakui pemainnya gagal memberi saingan sengit kepada pasukan lawan yang berada pada ranking kelapan dunia.

Beliau berkata kehilangan dua tonggak utama, Raja Norsharina Raja Shahbuddin yang patah jari serta Julaini Muhammad Din yang mengalami kecederaan lutut, menjejaskan rentak permainan pasukan kebangsaan.

Sehubungan itu, Muhammad Dharma Raj mengharapkan pemainnya kembali bangkit memberi saingan kepada Jepun pada aksi ketiga, Rabu ini.

Dalam satu lagi perlawanan hari ini, Korea Selatan dan Jepun seri 1-1. -- Bernama