KUALA LUMPUR: Skuad hoki lima sebelah (5s) wanita negara mempamerkan permulaan meyakinkan pada kempen Piala Dunia Hoki 5s 2024 apabila membelasah tuan rumah Oman 10-0 pada aksi Kumpulan A di Muscat, hari ini.

Sepuluh gol berkenaan dijaringkan masing-masing menerusi Zati Alyani Muhamad Zubir (minit ke-10, 11, 22 dan 25), Nur Zafirah Aziz (11, 13 dan 27), Qhairunisya Mohd Zanili (16 dan 30) serta Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri pada minit ke-22.

Sementara itu, pengendali pasukan Nabil Fiqri Mohd Noor berkata kemenangan berkenaan pastinya menjadi suntikan semangat buat mereka untuk terus mengekalkan momentum cemerlang pada kejohanan berprestij itu.

"Objektif pertama (dalam kejohanan) ialah capai kemenangan dan jaringan 10-0 ini beri kelebihan untuk pasukan. (Misi) perlawanan kedua menentang Belanda malam ini masih sama iaitu meraih kemenangan.

Ini juga membuktikan kita menghantar mesej kepada pasukan lain bahawa kita bersedia untuk menghadapi kejohanan ini," katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media hari ini.

Pasukan kendalian Nabil Fiqri itu akan menentang Belanda pada 8.30 malam ini sebelum melengkapkan saingan Kumpulan A bertemu Fiji esok.

-- BERNAMA