KUALA LUMPUR: Hasrat skuad hoki wanita negara untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan kedua kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 tidak kesampaian apabila tewas kepada Kanada 0-3, pada Ahad.

Pada aksi Kumpulan B berlangsung di Estadio Beterodi, Valencia, Sepanyol, pasukan Kanada membuka jaringan seawal minit ketiga apabila Sara McManus menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum Rae Thora menggandakan jaringan menerusi gol padang pada minit ke-22.

Ketika Malaysian Tigress berusaha memperbaiki benteng pertahanan, anak didik Kate Richardson-Walsh menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti McMason pada minit ke-45 sehingga tamat masa penuh.

Sementara itu, pengendali skuad hoki wanita negara Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berpuas hati dengan corak permainan ditampilkan anak buahnya walaupun mengalami kekalahan dengan pasukan lebih berpengalaman.

"Perlawanan hari ini lebih baik daripada semalam kerana kita akui Kanada lebih berpengalaman. Kita dapat bermain dengan baik di suku akhir jadi masih ada ruang penambahbaikan di bahagian kekuatan serta kecergasan untuk perlawanan seterusnya," katanya menerusi rakaman video dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Pada Sabtu, Malaysian Tigress mencatatkan kekalahan besar 0-7 kepada tuan rumah Sepanyol pada perlawanan Kumpulan B. Malaysia dijadual berdepan Great Britain pada Selasa (16 Jan).

-- BERNAMA