KUALA LUMPUR: Malaysia diberi penghormatan buat kali kedua oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada 17 hingga 27 Mei tahun depan.

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata kejohanan itu yang kali terakhir dianjurkan Malaysia pada 2011, akan melibatkan penyertaan dari 20 negara.

Sebelum ini, Piala Dunia Sepak Takraw 2022 berlangsung di Daejeon, Korea Selatan dengan Malaysia berjaya membawa pulang satu perak dan gangsa, masing-masing dalam acara regu lelaki dan regu wanita.

"ISTAF bersetuju memberi pengiktirafan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi menganjurkan Piala Dunia Sepak Takraw yang akan berlangsung pada Mei tahun depan di Stadium Titiwangsa.

"Persetujuan turut dibuat berhubung cadangan PSM untuk mempertandingkan dua kategori iaitu lelaki dan wanita dalam acara regu dan kuadran," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Abdul Halim berkata pada masa sama, beliau menyerahkan sepenuh tanggungjawab kepada PSM untuk mencari peruntukan serta penajaan bagi menganjurkan kejohanan berkenaan yang dianggarkan mencecah USD500,000 (kira-kira RM2.3 juta).

Sementara itu, Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan optimis badan induk itu tidak berdepan masalah mencari peruntukan dan penajaan bagi menganjurkan kejohanan berkenaan.

"Berhubung peruntukan itu kami masih dalam proses perbincangan dan insya-Allah tiada masalah untuk mendapatkannya selain penaja utama pada tahun depan, " katanya.

-- BERNAMA