KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan menamatkan Siri Jelajah United Kingdom 2021 dengan mengikat Perancis 2-2 pada perlawanan persahabatan di Pusat Hoki Wales, malam ini.

Kedua-dua pasukan turut mencatatkan keputusan seri 1-1 pada pertembungan Jumaat lepas.

Malaysia melakar masing-masing satu kemenangan dan kekalahan dengan empat keputusan seri dalam aksi persahabatan sementara dalam empat perlawanan ujian pula tamat dengan tiga kemenangan dan tewas sekali.

Pada pertembungan malam tadi, skuad 'Malaysian Tigers' bimbingan A. Arul Selvaraj membuka jaringan menerusi gol padang Shello Silverius pada minit ke-27 sebelum Perancis bangkit mendahului 2-1 hasil dua gol pukulan sudut penalti pada minit ke-38 dan ke-43.

Faizal Saari muncul wira Malaysia apabila bijak menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-46 sekali gus menyelamatkan maruah skuad kebangsaan yang kini menduduki ranking ke-10 dunia berdepan Perancis di kedudukan ke-13.

"Siri Jelajah United Kingdom 2021 kami berlangsung dengan bagus kerana kami berjaya mencapai matlamat iaitu menamatkan siri ini dengan berada di kedudukan 10 pasukan teratas dunia dan kami bermain enam perlawanan bertemu pasukan kebangsaan antarabangsa," kata Arulselvaraj dalam kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Sementara itu, pemain berpengalaman Muhammad Razie Abd Rahim berkata secara keseluruhan, siri jelajah UK sangat baik terutamanya dengan peningkatan dipamerkan pasukan dalam setiap perlawanan.

"Banyak perkara positif yang kami lakukan dalam siri jelajah ini tetapi masih ada lagi perkara perlu diperbaiki untuk dibawa ke kejohanan seterusnya.

"Pemain semua gembira dengan keadaan sekarang selain kami juga telah menetapkan standard iaitu kami perlu mencari kemenangan dalam setiap perlawanan," katanya.

-- BERNAMA