BAYERN Munich mendenda pemain kontroversi, Sadio Mane lebih 250,000 euro (RM1.21 juta) kerana menumbuk muka rakan sepasukan, Leroy Sane minggu lalu.

Jumlah denda itu merupakan yang tertinggi dalam sejarah Bayern.

Kedua-dua pemain itu bertengkar di atas padang ketika kekalahan 0-3 kepada Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara.

Insiden tidak berakhir di situ sebaliknya semakin tegang apabila mereka memasuki terowong di Stadium Etihad.

Akibat tumbukan itu, Sane yang merupakan bekas pemain City mengalami luka dan bengkak di bahagian bibir.

Susulan insiden tersebut, Mane turut digugurkan ketika aksi Bundesliga menentang Hoffenheim pada Sabtu.

Bagaimanapun bekas pemain Liverpool itu dijangka kembali untuk aksi suku akhir kedua bertemu The Citizens awal pagi Khamis.

Bekas pertahanan Borussia Dortmund, Manuel Akanji yang akan membarisi skuad City di Allianz Arena berharap rakan sepasukan tidak gentar dengan kebangkitan Bayern.

Katanya, tidak ada apa yang perlu digeruni dengan suasana di Munich.

"Saya tidak rasa ia salah satu daripada suasana terbaik di Jerman. Saya rasa ada tempat lain yang lebih baik tetapi mereka tetap akan cuba membantu pasukan.

"Kita tidak boleh fikir yang kita mempunyai kelebihan tiga jaringan. Bayern akan cuba melakukan apa saja untuk mengatasi defisit ini, tetapi kita perlu bersedia," ujar Akanji. - Sinar Harian