KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuka semula permohonan lesen luar biasa (extraordinary license) kepada semua kelab Liga Bola Sepak Amatur (AFL) M3 untuk memohon lesen menyertai Liga Super 2024-2025.

MFL dalam kenyataan memaklumkan tawaran itu dibuka susulan keputusan First Instance Body (FIB) dan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) yang menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam musim baharu Liga Super, dijadualkan bermula Mei ini.

Menurut badan pengelola liga bola sepak profesional negara itu, permohonan lesen luar biasa tersebut dibuka semula kepada kelab-kelab Liga M3 berdasarkan Perkara 4.5, 4.6 dan Annexe III Peraturan Pelesenan Kelab MFL.

"Ketiadaan Kelantan FC menyaksikan kekosongan slot ke-14 bagi saingan Liga Super musim ini.

"Justeru MFL telah meminta semua kelab M3 yang berminat untuk mengemukakan permohonan lesen luar biasa ini pada 18 Jan 2024 dan proses penyerahan semua dokumen menerusi AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) CLAS (sistem pentadbiran lesen kelab) akan bermula 19 Jan hingga 2 Feb 2024," menurut MFL.

MFL menyatakan keperluan kriteria mengisi slot Liga Super itu masih sama dengan kriteria permohonan luar biasa pasukan Liga M3 dan subkriteria iaitu infrastruktur, kakitangan dan pentadbiran, sukan, perundangan, kewangan dan perniagaan, yang terkandung dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

"MFL akan memilih hanya satu kelab terbaik yang memenuhi kriteria ditetapkan untuk mengisi slot ke-14 selepas ketiadaan Kelantan FC," tambah MFL.

Pada 1 Jan lepas, Pengerusi FIB Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif mengumumkan Kelantan tidak layak bertanding dalam Liga Super 2024-2025 kerana gagal memperoleh Lesen Kebangsaan sebelum tarikh akhir (31 Dis 2023).

Keputusan itu dibuat selepas kegagalan skuad The Red Warriors (TRW) melengkapkan dua kriteria kewangan di bawah subkriteria F.04 dan subkriteria F.11 sebelum tarikh akhir yang ditetapkan, masing-masing pada 30 Nov dan 31 Dis.

Skuad TRW yang terpalit masalah kewangan, menamatkan saingan Liga Super 2023 pada kedudukan tercorot dalam kalangan 14 pasukan bertanding dengan mengumpul lapan mata, selepas tewas dalam 22 perlawanan dan meraih dua kemenangan serta dua seri.

-- BERNAMA