Malaysia telah menghantar pasukannya yang terdiri dari lima petarung seni mempertahankan diri campuran (MMA), untuk bertarung dalam kejohanan MMA antarabangsa di Las Vegas, akhir bulan ini.

Dengan gelaran 'Malaysia Top Team', Malaysia menjadi satu-satunya negara Asia Tenggara yang menyertai kejohanan dunia Persekutuan Mixed Martial Arts Antarabangsa (IMMAF) yang bakal diadakan pada 29 Jun hingga 7 Julai.

Pasukan negara yang terdiri dari juara pertandingan Malaysian Invasion Mixed Martial Arts Fighting Championship (MIMMA FC) musim pertama, akan bertemu dengan petarung-petarung amatur dari seluruh dunia.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan ini sebagai satu pencapaian yang bermakna kerana Malaysia merupakan satu-satunya wakil Asia Tenggara dan satu-satunya persekutuan MMA Asia Tenggara yang diiktiraf.

"Sesungguhnya telah banyak dilalui oleh MMA di Malaysia dan Persatuan Mixed Martial Arts Malaysia (MASMMAA) akan terus mengenal pasti dan bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan MMA terbaik di dunia untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai peluang untuk menguji diri mereka untuk berhadapan dengan yang terbaik di dunia.

masmmaa
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama pasukan 'Malaysia Top Team'

"Kita harap akan terus mencatat pelan supaya rakyat Malaysia dapat menikmati MMA yang terbaik dari masa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan.

Lima petarung tersebut, Prabu Somanaidu, Alllen Solomon Chong, Keanu Subba, Adrian Tham dan Jim Chong Jing Yi bakal membawa bendera Malaysia ke persada antarabangsa bagi membuktikan kehebatan negara.

Mereka akan dilatih oleh petarung professional MMA, Cody Stevens dan penggusti, Matt Pellino dari Amerika Syarikat. Pasukan itu juga akan diuruskan oleh setiausaha MASMMAA, Brent Yap.

Sementara itu, Presiden MASMMAA, Jalluddin Abu Hassan berkata kejohanan IMMAF akan mengukuhkan lagi Malaysia di peta dunia MMA serta sebagai kuasa MMA di Asia.

"MASMMAA sentiasa mencari saluran untuk membangunkan sukan tersebut di Malaysia. Dengan menghantar pasukan ke Las Vegas, kami menetapkan tanda aras untuk semua petarung tempatan supaya mereka akan mencabar diri mereka ke tahap di mana mereka boleh bersaing di peringkat antarabangsa," katanya.

Jalluddin juga yakin bahawa 'Malaysia Top Team' akan memastikan warga Las Vegas sentiasa mengingati nama Malaysia.

MASMMA ditubuhkan pada 11 Disember 2013, hasil daripada cadangan Khairy sendiri. Manakala MIMMA FC juga merupakan cetusan idea beliau bersama Ketua Pengarah Eksekutif Tune Talk, Jason Lo.

Mereka sebelum ini juga pernah bekerjasama menubuhkan rancangan realiti bolasepak popular tempatan, 'My Team'.