KUALA LUMPUR: Penyerang gantian, Muhammad Farhan Roslan muncul wira Sabah FC apabila jaringannya enam minit sebelum perlawanan tamat membantu pasukan di tangga kedua Liga Super itu mengikat Kedah Darul Aman FC, 1-1, di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Bagaimanapun, keputusan itu sedikit menjejaskan misi Sabah yang mengumpul 35 mata selepas 16 perlawanan untuk merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim, dengan 38 mata manakala Kedah naik dua anak tangga untuk berada di kedudukan keenam liga dengan 18 mata.

Perlawanan di Alor Setar menyaksikan Kedah tidak menunggu lama untuk menceriakan hampir 5,000 penyokong mereka apabila penyerang kelahiran Cameroon, Ronald Ngah Wanja menyambut hantaran Mahmoud Nayef dengan menanduk masuk gol pertama tuan rumah seawal minit kelima.

Tersentak dengan jaringan pembukaan Kedah, 'Sang Badak' yang meningkatkan tempo permainan mereka hampir menyamakan kedudukan menerusi penyerang import, Taiki Kagayama, namun rembatannya ditepis penjaga gol tuan rumah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-28 dan kedudukan itu kekal sehingga babak pertama tamat.

Bersambung babak kedua, pemain tengah berpengalaman, Baddrol Bakhtiar hampir merobek gawang bekas pasukannya namun tandukannya sedikit tersasar di sebelah kiri gol pada minit ke-58, berpunca daripada sepakan percuma oleh pemain sayap, Saddil Ramdani.

Namun, percaturan bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee, membawa masuk Muhammad Farhan Roslan yang menggantikan Kagayama membuahkan hasil selepas berjaya menolak masuk hantaran lintang Saddil pada minit ke-84 sekali gus memastikan Sabah berpuas hati dengan satu mata.

Aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, pula menyaksikan dua gol yang dihasilkan pelawat, Terengganu FC di separuh masa pertama sudah cukup mengecewakan tuan rumah, Selangor FC, 2-0.

'Sang Penyu' mengejutkan skuad 'Gergasi Merah' seawal minit ke-13 apabila hantaran pendek tonggak tengah dari Jerman, Manuel Ott berjaya menemui Habib Haroon, yang melepaskan sepakan leret dari luar kotak penalti untuk meletakkan pasukan dari Pantai Timur itu di depan 1-0.

Pasukan kendalian Nafuzi Zain terus menambah luka Selangor apabila Ott menyambar hantaran lintang pemain sayap lincah, Mohamad Faisal Abdul Halim, dari sebelah kiri padang untuk mengatasi tuan rumah 2-0, enam minit sebelum separuh masa pertama tamat.

Keputusan itu menyaksikan Terengganu kini mengumpul 23 mata untuk kekal di tangga keempat manakala Selangor di tempat kesembilan dengan 16 mata.

Dalam pada itu, Sarawak United FC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri selepas sekadar seri tanpa jaringan menentang Petaling Jaya (PJ) City FC di Stadium Negeri Kuching.

Sarawak United berada di tangga ke-10 dengan 14 mata dan hanya dibezakan satu mata dengan PJ City yang berada di kedudukan ke-11 selepas mengutip 13 mata.

-- BERNAMA