JOHOR BAHRU: Jaguh berbasikal negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom merangkul gelaran Olahragawan, manakala atlet menembak Nurul Syasya Nadiah Arifin diumum sebagai Olahragawati Negeri Johor melalui Anugerah Sukan Johor (ASJ) ke-30 malam tadi.

Anugerah berkenaan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah dalam majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Persada Johor di sini.

Mohd Hairi berkata Muhammad Shah Firdaus dipilih sebagai pemenang anugerah itu kerana pencapaian beliau yang telah menempa nama bagi sukan berbasikal dengan mendapat ranking ke-12 bagi acara keirin dan sprint pada Sukan Olimpik Tokyo 2021 serta meraih pingat gangsa dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Katanya, pemilihan Nurul Syasya Nadiah pula atas kemenangan beliau merangkul pingat emas pada Sukan SEA 2022 dan menyumbang empat pingat emas semasa Sukan Malaysia (SUKMA) MSN XX 2022 di Kuala Lumpur.

"Dalam ASJ kali ini, sebanyak 14 anugerah diberikan kepada atlet serta penggerak sukan dan diharap dapat menjadi inspirasi serta pemangkin buat atlet lain untuk lebih baik selepas ini, sekali gus menjulang nama Johor di peringkat tempatan mahupun di luar negara," katanya ketika berucap.

Terdahulu, kedua-dua jaguh sukan berkenaan yang berasal dari Muar dan Batu Pahat itu masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000 bersama trofi.

Dalam anugerah lain, Pasukan Bola Sepak Negeri Johor telah dipilih sebagai Pasukan Lelaki Terbaik kerana kejayaan mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih, Piala Malaysia dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2021 2022, selain memenangi Pasukan Terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan MFL 2022. 

Kejayaan pasukan Pursuit Wanita SUKMA Johor dengan mencipta rekod baharu kebangsaan serta merangkul emas pada SUKMA MSN XX 2022 menjadikan mereka dipilih sebagai pemenang kategori wanita. Kedua-dua pasukan membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta trofi.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan kejohanan akan datang, Muhammad Shah Firdaus yang mendapat julukan "The Terminator Shah" memberitahu beliau akan beraksi pada Piala Negara-negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2024 (Nation Cup) di Hong Kong, Mac nanti sebelum ke Australia bagi latihan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya akan menganggap semua kejohanan adalah penting bagi memastikan prestasi semasa berada pada tahap terbaik dan akan menjadikan kesilapan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi minggu lepas sebagai pengajaran," katanya.

-- BERNAMA