Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan syabas kepada semua atlet negara yang beraksi pada temasya Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow, Scotland, terutamanya kepada pemenang-pemenang pingat.

Dalam blog www.1malaysia.com.my, Najib berkata kontinjen Malaysia mempamerkan komitmen dan semangat juang tinggi pada temasya itu, yang berlangsung dari 23 Julai hingga 3 Ogos.

"Semangat juang tinggi para atlet kita telah berjaya meraih enam pingat emas, ehsan kudrat pengangkat berat Mohd Hafifi Mansor, jaguh skuasy dunia Datuk Nicol David, bakat tempatan dalam skuad campuran, beregu lelaki dan beregu wanita badminton negara, serta penerjun yang makin meningkat naik namanya, Ooi Tze Liang," katanya.

Malaysia mengakhiri temasya sukan kedua terbesar dunia itu di tangga ke-12 dengan enam emas, tujuh perak dan enam gangsa.

Najib berkata Malaysia harus mengambil langkah-langkah proaktif untuk memperbaiki dan memperkukuh prestasi dalam bidang sukan dan rakyat perlu terus hidup berlandaskan prinsip budaya kecemerlangan.

"Saya percaya kita harus menyasar untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam temasya-temasya yang akan datang.

"Oleh yang demikian, saya menyeru setiap rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang untuk terus berdiri kukuh di belakang atlet-atlet kita.

"Kita mampu bersama-sama berusaha lebih lagi untuk mencapai kejayaan lebih hebat pada masa hadapan," katanya.

Perdana Menteri berkata kontinjen negara juga berjaya meraih enam daripada tujuh pingat emas yang disasarkan Majlis Olimpik Malaysia.

"Kita meletakkan sasaran ini kerana beberapa acara sukan yang telah memenangi pingat emas di New Delhi (India) tidak dipertandingkan di Glasgow dan kita juga tidak menyertai beberapa acara kali ini," katanya.

Najib berkata beliau juga amat berbesar hati melihat rakyat Malaysia dari setiap sudut bersatu dan bersolidariti bersama mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17.

"...dan perpaduan ini terpampang jelas di mata dunia pada Kejohanan Sukan Komanwel yang baru sahaja berakhir di Glasgow.

"Kita memulakan kempen Sukan Komanwel kali ini dalam suasana hening apabila Jalur Gemilang dikibarkan separuh tiang, negara-negara Komanwel lain turut sama berkongsi kesedihan ini dengan bertafakur selama satu minit sewaktu acara pembukaan dilangsungkan," katanya.

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia dipercayai ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.