Ratu skuasy negara Datuk Nicol David berada di landasan betul untuk mempertahankan kejuaraan kejohanan skuasy Siri Dunia Akhir apabila layak ke perlawanan separuh akhir.

Nicol layak selepas mengatasi pemain Belanda Natalie Grinham 11-4 dan 11-8.

Dalam pertandingan yang berlangsung di The Queens Club, London, Nicol hanya mengambil masa 19 minit untuk menempah slot separuh akhir.

Kemenangan tersebut sekali gus meletakkan Nicol sebagai juara Kumpulan A.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan, wakil England Laura Massaro tewas mengejut kepada wakil Hong Kong Annie Au 11-5, 7-11 dan 11-6.

Walaupun tewas Massaro tetap layak ke separuh akhir selaku juara kumpulan.

Untuk rekod, Nicol muncul juara edisi sulung kejohanan itu tahun lepas dengan mengalahkan pemain Ireland Madeline Perry 11-9, 11-9, 11-9.

Kejohanan yang menjadi kemuncak penghujung musim skuasy dunia itu menampilkan lapan pemain terbaik wanita dan lelaki dunia.