KUALA LUMPUR: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) merancang program latihan khas untuk Bertrand Rhodict Lises, satu-satunya atlet terjun yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Setiausaha Agung MAS, Andy Low berkata, atlet berusia 18 tahun dari Sarawak itu bersedia menjalani rejim latihan yang ketat bagi meningkatkan darjah kesukaran terjunannya untuk bersaing di pentas Olimpik pada 27 Julai hingga 10 Ogos depan.

Beliau berkata, MAS dengan sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) akan membimbing Bertrand agar mencapai keputusan terbaik dalam acara 10 meter (m) platform lelaki di temasya itu kelak.

"Kita perlu mencari pangkalan latihan untuk beliau berguru bersama jurulatih di sana. Tiada guna kalau kita hantar contohnya ke China, tapi jurulatih tiada masa untuk melatih beliau.

"Antara cadangan pangkalan latihan seperti di Amerika Syarikat dan Mexico, kita perlukan jurulatih yang boleh berikan tumpuannya kepada beliau. Ini masih di peringkat cadangan, kita belum muktamadkan lagi," katanya pada sidang media, menambah pengarah teknikal Bryan Nickson Lomas sedang mengusahakan perkara itu.

Sementara itu, Andy berkata, MAS akan menunggu mesyuarat Jawatankuasa Road To Gold (RTG) pada akhir bulan ini, untuk melihat sama ada Bertrand akan dimasukkan ke dalam program itu bagi mendapatkan kemudahan persiapan yang lebih baik.

"Sebarang keputusan sama ada atlet dimasukkan atau digugurkan akan dibuat oleh jawatankuasa berkenaan. Jika beliau tidak dimasukkan, kita akan merayu," katanya.

Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri berdepan kemungkinan digugurkan daripada RTG selepas tidak berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik semasa Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, baru-baru ini yang juga kejohanan kelayakan terakhir untuk acara terjun.

RTG merupakan program sokongan khas tambahan untuk membantu atlet elit mencapai pingat emas Olimpik pertam negara di Paris 2024 atau Los Angeles 2028.

Atlet di bawah program RTG menerima elaun tambah RM3,000 sbeulan (di atas elaun biasa), serta faedah istimewa lain dari segi kepakaran sains sukan, penyertaan dalam kejohanan luar negara dan kejurulatihan.
- BERNAMA