PEMAIN Manchester City mempunyai peluang sekali "seumur hidup" apabila mereka bakal menentang Fluminense dalam perlawanan akhir Piala Dunia Kelab, kata pengurus Pep Guardiola.

Pasukan kendalian Guardiola melepasi Urawa Red Diamonds pada aksi separuh akhir untuk menetapkan pertemuan dengan juara Amerika Selatan, Fluminense pada Jumaat di Arab Saudi.

City dalam misi menjadi kelab Inggeris keempat untuk menjulang kejuaraan Piala Dunia Kelab selepas Manchester United, Liverpool dan Chelsea.

"Pemain tahu betapa pentingnya (muncul juara) untuk kelab," kata Guardiola.

"Untuk berada di pentas final ini, anda perlu melakukan perkara yang luar biasa seperti memenangi Liga Juara-Juara Eropah. Ini mungkin satu-satunya masa kita bermain (di final) dalam hidup kita.

"Kami akan cuba memenangi gelaran yang kami belum dapat," katanya.

Pengendali dari Sepanyol itu sebelum ini memenangi pertandingan itu dua kali ketika mengemudi Barcelona dan sekali sepanjang tempoh tiga tahun di Bayern Munich.

Dan kemungkinan dia menambah koleksi itu kelihatan cerah selepas City tampak selesa mengalahkan juara Asia, Urawa Red Diamonds dengan keputusan 3-0 hasil jaringan sendiri Høibråten, Matteo Kovacic dan Bernardo Silva. - Stadium Astro