KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak boleh mengambil langkah terburu-buru dalam mencari pengganti Wong Choong Hann, yang meletak jawatan sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, baru-baru ini.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengakui tidak mudah mencari jurulatih yang mampu mengisi kelompongan ditinggalkan Choong Hann yang menamatkan tempoh perkhidmatan hampir lima tahun sejak November 2018 bersama badan memayungi badminton negara itu.

Katanya, kebanyakan jurulatih terutamanya dari luar juga pastinya sedang memberi komitmen jitu membantu negara masing-masing menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, dengan kempen kelayakan sedang rancak berlangsung hingga April tahun depan.

"Tentu sekali kita sedang cari jalan sesuai ganti Choong Hann. Bukan senang kerana beliau telah bersama kita sejak lima tahun lepas, sudah sebati dan menjadi satu daripada penggerak serta aset pasukan badminton kita.

"Oleh itu, kita harus kenal pasti jurulatih sesuai, namun ia bukan jalan mudah .... Sama ada menerusi penyesuaian struktur masa ini (jurulatih) atau ambil orang baharu, perkara itu masih dalam perbincangan, tak boleh terburu-buru mahupun tangkap muat," katanya selepas mesyuarat pemilihan atlet dan pegawai ke Sukan Asia 2022, di sini.

Mengenai pengganti Michelle Chai yang meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Mohamad Norza berkata, BAM masih melakukan proses pencarian bagi memastikan individu itu benar-benar layak mengepalai ABM.

"Kita juga melantik ejen headhunter untuk lihat dari seluruh pelusuk dunia individu yang boleh mengendalikan akademi sukan, lebih-lebih lagi sesuai dengan badminton," katanya.

Bulan lepas, Michelle secara sukarela menyerah serta menghantar notis peletakan jawatannya selaku Ketua Pegawai Eksekutif ABM susulan prestasi hambar skuad wanita negara yang tersingkir daripada saingan Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Michelle pada sidang media berkata, kekalahan mengejut 0-3 di tangan skuad wanita Filipina pada aksi suku akhir di Dewan Badminton, Stadium Nasional Morodok Techo itu tidak boleh diterima dan memerlukan jalan penyelesaian barisan pengurusan serta kejurulatihan ABM. - BERNAMA