KUALA NERUS: Percaturan Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain ketika menentang Selangor FC pada perlawanan Liga Super 2021 malam tadi ternyata membuahkan hasil apabila dua daripada tiga gol yang diperoleh pasukannya disumbangkan oleh pemain gantian.

Nafuzi berkata perubahan taktikal dengan memasukkan Mohammad Rahmat Makasuf dan Mohamad Hakimi Abdullah pada separuh masa kedua perlawanan dibuat sebagai strategi menghadapi serangan bertalu-talu pihak lawan.

"Menjelang babak kedua sememangnya pihak lawan terdesak untuk mencari gol dan mereka akan lebih menyerang kita.

"Jadi kita perlukan pemain yang lebih bertenaga untuk bertahan. Alhamdulillah percaturan ini berhasil," katanya dalam sidang media selepas perlawanan tersebut, di sini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menyaksikan Skuad Penyu berjaya mengumpul tiga mata selepas menewaskan pasukan Red Giants 3-1.

Sambil menyifatkan kemenangan itu adalah atas sumbangan keseluruhan pasukan, Nafuzi turut menzahirkan rasa bangga terhadap prestasi anak-anak buahnya yang terdiri daripada ramai pemain muda.

"Kalau dibandingkan Selangor FC dengan kita memang berbeza. Dari segi pemain import, pemain mereka (Selangor FC) lagi besar dan mereka mempunyai ramai pemain berpengalaman.

"Jadi bagi Terengganu, walaupun kita ramai pemain muda tetapi kita mengikut sistem kita. Apa yang kita berlatih dan rancang kita ikut. TFC tidak bergantung kepada individu tetapi kita lebih kepada satu pasukan," katanya.

Sementara itu, pengendali Selangor FC Karsten Neitzel mengakui pada peringkat awal perlawanan, aksi pasukannya tidak sebaik yang ditunjukkan ketika menentang Sri Pahang FC pada Sabtu lepas sehingga membolehkan the Red Giants menang 3-1.

Namun, anak buahnya telah mencuba sebaik mungkin mencipta beberapa peluang gol pada 30 minit terakhir perlawanan walaupun pada akhirnya terpaksa pulang dengan kehampaan.

-- BERNAMA