Persekutuan Bola Sepak Turkiye gantung 102 pemain susulan siasatan aktiviti pertaruhan

Skandal ini mula mendapat perhatian pada 27 Oktober lalu apabila Presiden TFF, Ibrahim Haciosmanoglu, mendakwa, ratusan pengadil mempunyai akaun pertaruhan. - Gambar fail Reuters
ISTANBUL: Persekutuan Bola Sepak Turkiye (TFF) menggantung 102 pemain daripada dua liga teratas negara itu kerana terlibat dalam “aktiviti berkaitan pertaruhan.”
Tempoh penggantungan berbeza antara tiga hingga 12 bulan, melibatkan 25 pemain daripada Liga Super Turkiye, termasuk dua pemain juara liga, Galatasaray – Eren Elmali dan Metehan Baltaci – yang masing-masing digantung 45 hari dan sembilan bulan.
Keputusan yang dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin Bola Sepak Profesional (PFDK) akan menjadi muktamad selepas tempoh rayuan tujuh hari berakhir.
Tindakan ini susulan penggantungan 1,024 pemain daripada liga profesional oleh TFF pada Selasa sebagai sebahagian daripada siasatan pertaruhan.
Berikutan langkah itu, perlawanan di divisyen ketiga dan keempat bola sepak Turki ditangguhkan selama dua minggu.
Elmali dalam hantaran Instagram menjelaskan: “Saya ingin jelaskan, nama saya muncul dalam kes ini kerana kira-kira lima tahun lalu, pertaruhan dibuat ke atas perlawanan melibatkan bekas pasukan saya, tanpa pengetahuan atau penglibatan saya. Sejak hari itu, saya tiada kaitan langsung dengan pertaruhan.”
Galatasaray pula menyatakan kelab akan mengikuti proses ini dengan penuh teliti.
Skandal ini mula mendapat perhatian pada 27 Oktober lalu apabila Presiden TFF, Ibrahim Haciosmanoglu, mendakwa, ratusan pengadil mempunyai akaun pertaruhan.
Menurutnya, daripada 571 pengadil liga profesional Turkiye, 371 mempunyai akaun pertaruhan dan 152 aktif membuat pertaruhan.
Beliau mendakwa, kumpulan itu termasuk tujuh pengadil dan 15 pembantu pengadil daripada dua liga teratas, selain 36 pengadil “berkelas” dan 94 pembantu dari liga bawahan.
Malah, 10 pengadil didakwa membuat lebih 10,000 pertaruhan, seorang daripadanya sebanyak 18,227 kali, manakala 142 pengadil membuat pertaruhan ke atas lebih 1,000 perlawanan.
Seperti pemain dan jurulatih, pengadil dilarang terlibat dalam aktiviti pertaruhan mengikut peraturan TFF, FIFA dan UEFA.
Pendakwa Turkiye baru-baru ini mengeluarkan arahan tahan terhadap 21 individu – termasuk 17 pengadil dan dua presiden kelab – dalam siasatan besar-besaran berkaitan pertaruhan dan pengaturan perlawanan.
BBC News Turkiye turut mengesahkan Pengerusi Eyupspor, Murat Ozkaya, telah ditahan bersama enam pengadil dan seorang lagi individu. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


