Selepas pasukan tuan rumah, Brazil dimalukan oleh Jerman, adakah kita akan menyaksikan satu lagi 'kebangkitan Eropah' oleh pasukan Netherlands terhadap satu lagi pasukan Amerika Selatan, iaitu Argentina?

Mampukah Argentina, menerusi penyerang handalan mereka Lionel Messi, memacu pasukan itu ke peringkat akhir yang sudah lama tidak mereka jejaki sejak menjadi juara Piala Dunia pada tahun 1986?

Apa pun persoalan itu akan terjawab pada perlawanan kedua separuh akhir Piala Dunia 2014 di antara Netherlands dengan Argentina yang bakal berlangsung di Arena Corinthians, Sao Paolo pagi Khamis nanti.

Bagi Argentina, mereka sekali lagi akan menaruh harapan besar kepada Messi kerana pemain tengahnya, Angel Di Maria tidak akan diturunkan berikutan kecederaannya semasa perlawanan Belgium tempoh hari.


Dia juga dijangka tidak akan bermain bagi perlawanan seterusnya kejohanan Piala Dunia ini. Bagaimanapun, mereka masih mempunyai beberapa pemain yang masih boleh diharapkan seperti Maxi Rodriguez, Gonzalo Higuain, dan Sergio Aguero berkemungkinan akan diturunkan selepas sembuh dari kecederaan.

Bagi Netherlands pula, mereka juga terpaksa bergantung kepada pemain sayap mereka, Arjen Robben. Ia berikutan prestasi Robin Van Persie yang dikatakan semakin merosot.

Meskipun begitu, gandingan di antara Robben dan Van Persie masih berbisa dan sukar dihentikan oleh pihak lawan.

Lionel Messi
Penyerang Argentina, Lionel Messi - Foto EPA

Robben merupakan tonggak utama dalam serangan Netherlands, kehebatannya terserlah apabila dia menjaring tiga gol dan meletakkan pasukannya sebagai juara Kumpulan B.

Selain itu, ketika perlawanan Netherlands menentang Costa Rica, Robben telah melakukan beberapa percubaan bahaya ke arah pintu gol lawan serta menjadi pemain yang paling banyak membuat hantaran bola.

Jika dilihat dari kemampuan membuat serangan, kedua-dua pasukan boleh dikatakan sama hebat.

Arjen Robben
Pemain sayap Netherlands, Arjen Robben - Foto AP

Bagaimanapun jika dilihat dari kemampuan mendominasi permainan dan posesi bola, Netherlands nampaknya lebih berkemampuan berbanding Argentina.

Oleh itu, perlawanan pada pagi Khamis nanti bergantung kepada pasukan mana yang lebih mampu mendominasi permainan selain mampu menguasai taktikal serangan.

Berdasarkan penilaian ini, berkemungkinan besar kemenangan akan berpihak kepada Belanda meskipun kemenangan itu dijangka tipis.

Tempat: Sao Paolo. Waktu: 4 pagi.

Pada pandangan anda, pasukan manakah yang akan layak ke final?