Tunku Mahkota Pemangku Raja Johor, DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim menganggap pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai satu perjumpaan yang amat positif.

Titah baginda, pertemuan itu membuka ruang pihaknya berkongsi pendapat serta mencari jalan penyelesaian dalam memperbaiki mutu bola sepak tanah air.

"Selepas perbincangan bersama Khairy Jamaluddin, saya ingin mengucapkan syabas di atas usaha dan kerja keras YB Khairy untuk sukan dan belia di negara ini.

"Perjumpaan ini membolehkan Khairy untuk mendapat gambaran yang lebih jelas berkenaan sukan bolasepak terutamanya projek JDT serta program-program belia yang saya inginkan di negeri Johor," titah baginda dalam kenyataan menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers.


Khairy yang menghadap Tunku Mahkota Pemangku Raja Johor pada Rabu turut menyatakan rasa puas hatinya dalam kenyataan di Twitter.

"Pertemuan yang positif bersama DYAM Tengku Mahkota Pemangku Raja Johor hari ini. Kerjasama utk masa depan bola sepak," katanya.


Selain berbincang mengenai perkara-perkara berkaitan pembangunan bolasepak tanahair, Khairy turut dibawa melihat fasiliti dan kemudahan yang dimiliki oleh kelab bolasepak Johor Darul Ta'zim seperti pusat latihan, gimnasium serta padang tertutup di Padang Seri Gelam.