KUALA LUMPUR: Tandukan penyerang import Terengganu FC (TFC), Adisak Kraisorn pada masa kecederaan membolehkan pasukan itu mengikat Stallion Laguna FC 2-2, sekali gus mengutip satu mata pada aksi Kumpulan G saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) semalam.

Keputusan itu turut meletakkan TFC di tangga kedua kumpulan dengan lima mata iaitu beza satu mata dengan skuad Central Coast Mariners FC yang menghuni kedudukan teratas, manakala Stallion Laguna FC dan Bali United FC di tempat ketiga dan keempat.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terenganu itu, pasukan pelawat mengejutkan tuan rumah apabila membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi Griffin McDaniel yang memperoleh sepakan percuma.

Pada minit ke-40 kubu skuad Penyu sekali lagi dibolosi Stallion Laguna FC hasil penyudah Ngong Sam Stephen untuk meletakkan kelab Filipina itu selesa mendahului 2-0.

Bagaimanapun, pada masa tambahan babak pertama TFC berjaya merapatkan kedudukan selepas seorang lagi tonggak import, Sony Norde menolak masuk bola hantaran Engku Muhammad Nur Syakir Engku Yacob, sekali gus menceriakan lebih 2,000 penyokong tuan rumah.

Adisak kemudian menanduk bola hantaran Norde pada minit ke-91 untuk menjadikan kedudukan seri 2-2 hingga akhir perlawanan.

Dalam pada itu, satu lagi aksi Kumpulan G menyaksikan Central Coast Mariners FC membelasah Bali United 6-3 yang berlangsung di Stadium Central Coast, Australia pada Khamis.

-- BERNAMA